BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Saturday, April 6, 2013

Duduk Bersendirian Dengan Diri Sendiri



Memang kesibukan di jalan ini mengajar erti sebuah ketidakselesaan. Bila ditanya si dia yang sangat berjasa, maka dijawab juga dengan pertanyaan, ‘adakah kamu layak bersenang-lenang sedang Baginda Rasul tidak pernah merasa senang di jalan ini’.

Tidak menjawab, saya hanya mengangguk sambil memandang sinar matanya. Saya kira, soalan saya yang dijawab dengan pertanyaan itu mahu untuk saya kembali berfikir kenapa saya ditakdirkan untuk menjadi salah seorang yang ada di situ, barangkali.

Memang, tulisan dan lisan mudah berbanding melakukannya!

Mengakui hakikat kehambaan, adakalanya memang selalu tersilap tingkah dan bahasa. Tapi itu tidak menjadi alasan untuk terus berhenti. Jatuh, bangun dan berdiri itu adalah lumrah dalam kehidupan yang terpilih ini.


Kelalaian Yang Sering Menyapa Diri Ini
Mengakui hakikat seorang insan biasa yang kerdil dan penuh dosa. Adakalanya kelalaian itu memang menyapa diri sehari ke sehari. Mujur kalau merasainya dan pantas bertindak mencantas akan kelalaian. Kalau tidak, memang zalim adakalanya membiarkan diri menjadi mangsa kepada kelalaian duniawi.

Percaya atau tidak, kelalaian itu sering disedari dikalangan kita semua. Tapi kadang-kadang, kerana kelemahan iman akibat perbuatan diri sendiri, maka akhirnya kita tenggelam dalam kelalaian tersebut. Astaghfirullah~

Dan saya, saya juga adalah antara manusia yang sering lalai!

Saya bersoal jawab dengan diri sendiri memandang dunia ini..
Begitulah hidup. Kadang-kadang terlalu asyik berjalan dan berjalan meneroka alam sehingga mungkin ada terlepas pandang hatta pada masa itu kamu berada dalam sebuah misi menuju Tuhan!

Adakah itu sebuah kehinaan? Ya. Sebuah kehinaan saya rasa apabila sudah merasai kelalaian tersebut tapi masih bertopengkan keimanan dengan angkuhnya tanpa mahu membetulkan apa yang telah terlepas pandang.

Tapi sebuah kebaikan dan kerendahan diri sebagai hamba jika terus menerus memperingati diri tanpa mahu memandang serong kepada manusia lain yang mungkin tidak setara atau sekufu dengannya. Kerana dengan kemuliaan Islam, tidak pernah ada suatu perintah pun untuk memburuk-burukkan orang lain hatta orang itu adalah pengemis sekalipun!

Sungguh, saya termasuk diantara sekalian manusia yang sering lalai~

Impak Yang Dirasai Oleh Sekeliling
Hari ini, saya cuba menyelami hati dan diri sendiri. Cuba bercakap dari hati ke hati. Pelik? Anda berhak untuk menyangka dan berkata begitu. Tapi tidak pelik bagi saya.

Dan ALLAH memang Maha Memahami.

Didatangkan-Nya seseorang untuk memperingati. Untuk berbual mengenai rasa hati. Dan diluncurkan pula kalimah-kalimah thoyyibah melalui insan itu.

Iman yang turun naik memang lumrah.

Tapi percaya atau tidak anda, jika dikatakan apabila anda sendiri berada dalam kondisi iman yang sedang tidak sihat, maka sebenarnya anda mempengaruhi orang disekeliling anda. Bukan itu sahaja, mungkin mempengaruhi orang yang kenal dengan anda walaupun orang itu berada sangat jauh berbatu-batu.

Pengaruh yang bagaimana?
Mereka akan dapat merasai jiwa anda yang sedang tidak sihat. Allahuakbar~

Orang yang ALLAH hantarkan itu jugalah yang pernah muncul dalam mimpi saya disuatu hari. Dalam mimpi itu, tatkala saya berjalan mengasingkan diri dan orang lain hanya terseru-seru nama saya sepintas lalu sambil membiarkan saya begitu sahaja sehingga saya terduduk memikul beban dosa di tepi jalan. Saya mahu menuju ke sebuah jalan, sebuah jalan untuk membersihkan diri dan membuang beban. Saat itu, saya keseorangan dalam keramaian. Seseorang yang keseorangan sambil terduduk.

Dalam masa menekup wajah dalam tangis, datang seseorang memegang bahu saya. Lalu menepuk-nepuknya sambil berkata, ‘kamu harus kuat’. Dipeluknya saya lalu diajak membersihkan diri untuk menyembah-Nya. Sungguh, sinar wajahnya dan sinar keikhlasan terpancar dibalik sepasang matanya.

Dan saya faham. Saya mesti ada terlepas pandang sepanjang berjalan dan ALLAH mahu menegur saya dalam pelbagai cara.

ALLAH bekerja secara rahsia. Dan ALLAH punya cara tersendiri.

Pengajaran untuk saya; harus mencari dan terus mencari. Jangan pernah berhenti!

NOTA KAKI
Post kali ini, kalau memang sukar difahami setelah dibaca, maka mungkin begitulah sifatnya. Saya sedang duduk bersendirian dan berkomunikasi dengan diri sendiri sambil mencari idea di rumah maya ini.

Related Posts with Thumbnails