
Cinta bukanlah sekadar berfungsi untuk memenuhi desakan masa dan rasa. kalau diteruskan juga sikap ini, akan terhasillah suatu keadaan yang memperkecilkan cinta. Bagi lelaki, cinta sejati bukanlah sesuatu ungkapan yang diciptakan untuk mencari seorang lagi.
Pandangan berhubung cinta sejati ini ditujukan kepada para jejaka dan gadis yang sedang mencari pasangan agar mereka berhati-hati dan mencari pasangan yang benar-benar sesuai dengan jiwa mereka. Kalau nak dipanjangkan lagi, pasangan yang sesuai tidak semestinya sama dalam setiap tindakan dan pemikiran. Kadang-kadang unsur dan sikap yang berlawanan saling melengkapkan.
Wujudkah cinta sejati kepada pasangan yang kononnya telah bertemu pasangan yang sehati sejiwa. Sedangkan pada hakikatnya, itu adalah cinta adalah cinta pertama kali mereka, yang seringkali disebut cinta pandang pertama. Hakikatnya adalah orang yang bercinta pertama kali biasanya tertipu dengan bayangan perasaan yang begitu mengelirukan. Misalnya seorang lelaki yang mempunyai sikap rendah diri, kesanggupan seseorang gadis untuk menemuinya, lantas ditafsirkan cinta pertama baginya, boleh menyebabkan beliau jadi angau dan sasau. Lalu beliau mangambil satu keputusan, tanpa berfikir dengan panjang lebar lagi, inilah cinta pertama dan terakhir bagiku. Kalau jodohnya baik, mungkin akan membawa kejinjang pelamin. Misalnya apabila kedua-duanya tamat pengajian di universiti dan mendapat pekerjaan yang boleh menjamin hidup.
Hakikatnya ialah, dalam kes-kes seperti ini, si jejaka tadi tidak pernah mencuba pilihan-pilihan yang lain dalam pencarian cinta sejatinya. Beliau tidak pernah meneroka kemungkinan-kemungkinan lain kerana penerokaan itu sendiri di anggap sudah mengkhianati cinta pertama itu. Hal ini samalah dengan pihak gadis. Jadi, saya syorkan kepada para gadis dan teruna ( klasik bunyinya ) janganlah terlalu terikat dengan cinta pandang pertama, kerana dengan keterikatan itu, tidak mungkin kita tahu alternatif lain yang kebarangkaliannya lebih baik adalah tinggi.
Namanya lagi cinta pandang pertama. Pandang pertama boleh sahaja berlaku di tepi-tepi jalan, di pasar-pasar malam mahu pun akibat sesuatu perlanggaran ataupun kemalangan. Pendek kata, sesuatu pertemuan berlangsung secara tidak sengaja. Cinta pertama bukan tulin dan tidak bersandarkan asas yang kukuh dan resional dalam pembinaan sesebuah hubungan yang matang dan mantap. Hubungan yang mantap mungkin boleh berlangsung daripada hasil risikan dan tilikan serta kajian terhadap seseorang yang ingin jadikan pasangan dalam masa yang berlangsung secara relatifnya lebih lama berbanding dengan cinta pandang pertama yang mungkin berlangsung dalam satu saat. Oleh itu, jangan sesekali remehkan pandangan orang tua yang selalu kita anggap kolot apabila cuba mencari pasangan untuk kita. Kononnya, hak mencari pasangan adalah hak peribadi kita, tanpa perlukan campurtangan pihak ketiga. Mereka menyusun aturan-aturan yang baik dan raisonal dalam mencari pasangan yang sesuai. Ada risik, tilik dan bermacam lagi prosesnya sebelum alam rumah tangga dapat terbentuk.
Saya menyarankan konsep cinta agung bagi menggantikan cinta pandang pertama. Cinta yang sejati adalah cinta agung. Cinta agung pada pandangan saya hanya boleh dicapai melalui pencarian. Namanya lagi pencarian, yang membawa maksud menyelidik, dan tidak ditipu oleh perasaan cinta yang buta sepertimana cinta pandang pertama. Melalui kaedah cuba jaya, mungkin lepas seorang, seorang yang lain pula, kita akhirnya akan bertemu dengan cinta yang sejati ini. Dalam budaya pencintaan Asia, orang seperti ini diberikan pelbagai gelaran buruk, sehingga dianggap pisau cukur ataupun buaya. Selain daripada yang benar-benar buaya atau pisau cukur pada nawaitunya, terdapat lebih ramai yang bertukar pasangan kerana mencari kesesuaian.
Sekiranya kesemua pasangan kekasih dapat menerima konsep percubaan cinta seperti ini, maka tidak akan muncul lagi istilah-istilah seperti putus cinta, kecewa lara dan sebagainya, kerana putus cinta dianggap sebagai pertemuan yang ditakdirkan tidak sesuai. Putus cinta akhirnya menjadi suatu yang positif. Ramai orang akan bersyukur kerana putus cinta.
Akhirnya, kepada mereka yang pernah putus cinta, harapan saya agar mereka menganggap peristiwa tersebut sebagai peristiwa yang biasa. Bercintalah lagi, dan lagi, dan lagi, teruskan mencari sehinggalah kita menemui cinta sejati seperti kisah Laila Majnun. Sepatah kata ucapan si Majnun-yang mencintai Laila seluruhnya, segala kekurangan dan kelebihan, secara pakej dengan katanya," Aku menyintai Laila termasuk selipar buruk dan anjing-anjing yang ada di rumahnya"
Monday, August 24, 2009
Cinta? Fenomena masakini..
Posted by Hafiz Ajmain at 11:51 AM 3 comments
Sunday, August 23, 2009
Ramadhan datang lagi ; apa persiapan kita ?

Ingin saya tegaskan sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud : ”Apabila datang Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu”. Justeru, adalah jelas, Ramadhan adalah bulan untuk beramal. Namun demikian, kenapa maksiat masih berlaku pada bulan Ramadhan? Mengapa produktiviti kerja kita semakin merosot pada bulan Ramadhan? Mengapa kita menjadi seolah-olah tidak bermaya pada bulan ini;lembik dan lesu, banyak tidur dan sebagainya? Para pembaca budiman sekalian, jawapannya adalah kita masih belum mampu mendidik nafsu kita. Iblis dan syaitan bersama dengan kita selama 11 bulan. Jadi, apabila tibanya Ramadhan, nafsu yang telah sebati dengan pujuk rayu mereka, bertindak sebagai aktor menggantikan iblis dan syaitan untuk menjalankan peranan dan fungsi mereka di bulan mulia ini. Produktiviti kita merosot kerana kita tidak menghayati semangat perjuangan dan pengorbanan para sahabat dan Rasulullah saw, yang bermati-matian mempertahankan Islam sehingga titisan darah terakhir dalam Perang Badar al-Kubra yang berlangsung sewaktu Ramadhan. Kita menjadi lebik, tidak bermaya dan banyak tidur kerana kita tidak mengisi Ramadhan dengan sebaiknya sehingga Ramadhan kita anggap sebagai bulan membuat tahi mata! Ayuh, bangunlah dan mari sama-sama kita buktikan Ramadhan kali ini yang terbaik buat kita. Pernah Nabi saw mendoakan doa Jibril a.s. iaitu ”Celakalah bagi mereka yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi setelah berlalunya Ramadhan, dia masih tidak mendapat pengampunan dari Allah swt”, waliya zubillahi min zalik.
Posted by Hafiz Ajmain at 9:40 PM 1 comments
Tuesday, August 4, 2009
Hati manusia..
Banyak orang menaruh perhatian yang besar terhadap keadaan jasmani mereka. Apakah terlihat bagus, terdapat luka-luka atau apakah tubuh sedang terasa kurang fit. Mereka lantas bergegas mencari ubat dan penyelesaiannya. Tetapi mereka kurang menaruh perhatian yang lebih terhadap hati.Hati merupakan ibarat raja yang memimpin anggota tubuh untuk melakukan suatu amalan, apakah amalannya itu menjadi baik ataukah menjadi buruk. Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis, bahawasanya sahabat An-Nu’man bin Basyir mengatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: ”… Ketahuilah bahawasanya di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baik pulalah seluruh tubuh. Dan apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh tubuh. Ketahuilah (segumpal daging) itu adalah al-qolbu (hati).” (HR. Bukhari dan Muslim).
Oleh kerana itu hendaklah seorang insan berusaha untuk mengenal tentang hati dan hal-hal yang berkaitan dengan hati. Hati dinamakan al-qolbu karena mempunyai sifat dapat berbolak-balik. Seorang penyair masa lalu melantunkan sebuah bait sya’ir:
Tidaklah dinamakan qolbu melainkan kerana berbolak-baliknya dan dapat memalingkan manusia…Tahap demi tahap
Pembagian Hati
Perlu untuk kita ketahui bersama bahawa hati dapat dikelompokkan menjadi tiga jenis iaitu hati yang sihat, hati yang sakit dan hati yang mati.
Hati yang sihat adalah hati yang selamat, iaitu yang membawa seseorang menuju kepada keselamatan di akhirat kelak.
Allah Ta’ala berfirman yang artinya:“Adalah hari yang mana harta dan anak-anak tidak lagi bermanfaat, kecuali orang-orang yang datang kepada Allah dengan hati yang selamat.” (Asy-Syuaraa: 88-89)
Syeikh Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini, mengatakan, “Hati yang selamat maknanya adalah selamat dari syirik, kejelekan, keragu-raguan, rasa cinta kepada keburukan, dari melakukan kebid’ahan dan dosa.”
Hati yang mati adalah hati yang tidak mengenal siapakah Rabb (Tuhan) nya. Tidak beribadah kepadaNya iaitu dengan menjalankan perintahnya dan tiada pula menghadirkan sesuatu yang dicintai dan diredhaiNya. Baginya yang penting adalah menuruti keinginan hawa nafsu. Hawa nafsu telah menjadi pemimpin dan pengendali baginya. Kebodohan adalah sifatnyaa dan kelalaian adalah biasa baginya. Bergaul dengan orang yang mati hatinya ini adalah penyakit, berteman dengannya adalah racun, dan duduk bersama dalam satu majlis dengan mereka adalah bencana.
Sedangkan hati yang sakit adalah hati yang hidup tetapi mengidap penyakit. Ia cenderung untuk mengikuti unsur yang lebih kuat. Kadang-kadang ia cenderung kepada ‘kehidupan’, namun ia lebih cenderung kepada ‘penyakit’. Padanya terdapat kecintaan, keimanan, keikhlasan, dan tawakal kepada Allah Ta’ala, yang kesemuanya itu merupakan sumber kehidupan. Namun padanya terdapat kecintaan dan ketamakan terhadap syahwat, sifat hasad, sombong dan ujub (berbangga diri), yang merupakan bencana dan sumber kehancuran diri seseorang. Ia berada diantara dua penyeru, iaitu penyeru yang menyeru kepada Allah dan RasulNya, hari akhir dan penyeru yang menyeru kepada kehidupan dunia. Seruan yang disambutnya adalah seruan yang paling dekat dan paling akrab.
Oleh karana itu, kita hendaklah berusaha menjadikan hati kita ke dalam jenis hati yang pertama, yang akan membawa diri kita menuju kepada keselamatan dan kebahagiaan. Dan juga berdoa dengan doa yang sering dipanjatkan oleh nabi yang mulia Muhammad S.A.W yang diriwayatkan dari jalan sahabat Syahr bin Ausyah R.A, “Wahai Dzat Yang Maha membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.” (HR. Tirmidzi, hasan). Dalam riwayat yang lain Rasulullah S.A.W berdoa, “Wahai Allah Dzat Yang Maha mengarahkan hati, arahkanlah hati kami kepada ketaatan kepadamu.” (HR. Muslim)
*Semoga kita dapat mengambil iktibar dari pesanan "hati" ini ^^
Posted by Hafiz Ajmain at 8:09 AM 4 comments






