BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Monday, July 27, 2009

Dunia ini hanya pinjaman?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca blog ku ini. Walaupun bukan tentang kisah hidup ku tetapi sebagai coretan yang boleh dikongsi bersama. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar (”,)



Umum mengetahui bahawa hidup kita di dunia ini adalah sementara waktu sahaja. Kenyataan ini selalu didendangkan oleh penyanyi-penyanyi zaman dahulu dengan mengatakan bahawa : Dunia ini hanya pinjam-pinjaman.

Oleh itu adalah tidak salah jika dikatakan bahawa kita diberi masa untuk hidup hanya bagi tempoh yang tertentu sahaja dan apabila tiba masanya,malaikat Izrail akan mengunjungi kita untuk menamatkan aktiviti-aktiviti penghidupan kita seharian di dunia yang fana ini.

Pada saat itu tidak ada apa-apa dan sesiapa pun yang dapat membantu kita lagi. Tangisan air mata darah sekali pun tidak mungkin dapat mengubah tugas malaikat Izrail untuk menangguhkan tugasnya.

Harta yang bertimbun dan melimpah ruah juga tidak akan dapat menukar, membeli, menambah atau melanjutkan nyawa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas seseorang itu.

Maut atau mati akan mengunjungi sesiapa saja dan di mana saja kita berada mengikut ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.

Justeru mahligai atau benteng yang kukuh dan kuat –yang dikawal rapi oleh pasukan keselamatan dengan kelengkapan yang paling canggih pun, tidak akan dapat menghindarkan seseorang yang berkuasa dari kematian.

Keadaan ini jelas digambarkan oleh Allah dengan Firman Nya yang bermaksud:

‘Di mana saja kamu berada, kamu akan menemui maut, sekali pun kamu berada dalam mahligai yang kuat dan kukuh.’

(Surah An-Nisa:78)

Namun demikian, ramai manusia yang tidak sedar atau sengaja tidak mahu menyedari hakikat ini. Mereka tidak memperhitungkan masa, tenaga dan gerak geri yang mereka tempuhi setiap hari untuk kepentingan hidup mereka sesudah mereka mati kelak.

Apa yang diberikan perhatian oleh mereka kebanyakannya ialah mengejar dan mengumpul harta dunia semata-mata . Mereka bekerja keras dan berusaha siang dan malam tanpa mengira keadaan cuaca sekalipun. Keadaan mereka ini seolah-olah hanya berkiblatkan harta dan wang ringgit.

Boleh dikatakan setiap orang begitu leka dengan hal ehwal dunia. Seboleh mungkin mereka ingin mengumpulkan harta sebanyak mungkin. Mereka hanya akan merasa bahagia dan hidung mereka akan kembang kempis apabila mereka dipanggil sebagai seorang jutawan, seorang hartawan, orang kaya, orang berpangkat dan sebagainya.

Sememangnya masyarakat sekarang telah meletakkan orang yang berpangkat, bergaji besar dan berumah batu sebagai orang yang mulia. Bagaimana pula tindak tanduk kebanyakan golongan ini dalamkerja-kerja akhirat. Jauh panggang dari apilah jawapannya!.

Lebih dari itu mereka dengan tidak segan silu mentertawa, memperli, menyindir dan mempermain-mainkan kawan-kawan mereka yang bersolat, berzikir dan menghadiri majlis ceramah agama.

Kita biasa mendengar bermacam-macam perkataan dilempar dan diucapkan, ke atas kawan-kawan mereka yang selalu mendampingi tikar sembahyang atau berusaha mencegah kemungkaran contohnya mereka disindir dengan perkataan ‘tok lebai. Tok wali, tok imam, tok kadi ‘.Disamping itu mereka juga memperolokkan amalan keagamaan . Mereka mengatakan bahawa tiada gunanya bersedekah kerana pahalanya tidsak nampak.

Mereka mengatakan bahawa tiada gunanya bersedekah kerana pahalanya tidak nampak, hujah mereka sembahyang dan amalan lain tidak perlu dikerjakan pada masa ini kerana umur kita masih muda lagi. Bagi mereka masa muda mesti diisi dengan hiburan dan bersuka ria, kerana muda hanya sekali. Apabila tua bolehlah kita beramal dan mambasuh segala dosa-dosa yang telah dilakukan di kala muda dahulu.

Namun begitu satu persoalan ynag boleh ditimbulkan di sini ialah apakah kita sangat yakin dan dapat memberikan jaminan kepada diri kita sendiri bahawa ajal kita akan tiba sewaktu kita tua nanti-pada masa kita ingin lagi kepada dunia dan mungkin juga dunia juga sudah tidak menginginkan kita lagi?

Sesungguhnya orang-orang yang hidup dengan mementingkan dunia dan menyisihkan akhirat adalah serugi-rugi manusia. Sebaliknya kita harus menumpukan kedua-duanya agar kita akan memperolehi kesenangan di dunia dan kebahagiaan akhirat.

Hakikatnya, kita tidak perlu menggunakan modal dan tenaga yang banyak untuk mendapat pahala. Hidup kita pula akan diberkati oleh Allah dan diberikanpahala sekiranya kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan penuh ketaqwaan. Ini jelas terbukti dari Firman Allah yang bermaksud:

‘Siapa yang bertaqwa nescaya Allah tunjukkan kepadanya jalan keluar (dari kesulitan) dan Allah akan memberi rezeki dengan jalan ia tidak sangka-sangka’

(Surah at-Talaq: 2 dan 3)

Dari Firman Allah di atasjelaslah kepada kita bahawa dalam mengharungi kehidupan ini, kita tidak terlalu dituntut sangat untuk mengejar dunia sehingga kita langsung melupai akhirat. Tetapi janganlah kita mengerjakan hal akhirat hingga kita lupakan dunia.

Jalan yang sebaik-baiknya ialah dengan menjadikan kata kata khalifah umar bi Abdul Aziz ini sebagai panduan hidup kita iaitu:

‘Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, dan beramallah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.’

Dengan berbuat demikian diharapkankita akan mencapai kesenangan hidup di dunia yang merupakan tempat persinggahan sementara ini di samping kita juga berharap akan mendapat penghidupan yang bahagia di akhirat kelak. Insya Allah.

*Kadang-kadang, kita jangan lah terlalu alpa dengan kesenangan hidup kerana itu semua hanya lah pinjaman dan tidak akan berkekalan selama-lama nya..

Hafiz [EP]

0 comments:

Related Posts with Thumbnails