Tuesday, March 13, 2012
Hairan? Pelik? Hmm...
Perasan atau tidak, semua orang pasti akan menggunakan
perkataan hairan bagi menyatakan reaksi apabila melihat keadaan sekeliling.
Hairan dengan isu politik, lalu isu Gaza sudah luput dari ingatan. Hairan dengan
kes pembuangan bayi, tapi punca berlakunya maksiat tidak dipandang. Hairan
dengan pergolakan dunia, tapi tidak memperbaiki ummah. Hairan dengan cara hidup
Islam, tapi diri sendiri tidak mengamalkan ajaran Islam. Hairan dengan wanita
yang bertudung macam jenis, tetapi tidak mencuba untuk mendekati mereka. Hairan
dengan sikap kurang ajar seorang anak, tapi langsung tidak berfikir kenapakah
si anak boleh jadi macam sedemikian.
Dan hairan dengan sikap sesetengah orang yang sangat suka
menjatuhkan hukum kepada orang lain. Tetapi tak pandang diri sendiri dan sekeliling
terlebih dahulu.
HAIRAN itu biasa. Asalkan hairan disusuli dengan fikiran
yang memikirkan penyelesaian. Tetapi menyampah itu, apa? Melahirkan rasa tidak
puas hati, mengutuk dan menghukum sesetengah individu? Seolah-olah menampakkan
si empunya badan ‘baikkkklah sangat’. Jangan! Tidak seharusnya orang Islam
berfikiran dan berperilaku begini. Kamu manusia, mereka pun manusia. Kamu hamba
ALLAh, pun mereka begitu jua. Kamu tahu, mungkin mereka tidak. Kamu tahu dan
faham, mungkin mereka tahu dan kurang faham. Jadi, nampak apa perbezaan di
sini? Adakah perbezaan ini boleh dijadikan sebagai tiket menandakan seseorang
yang agak baik pengetahuannya meninggi diri ke atas sehingga memandang rendah
dan serong orang yang lebih rendah? Tidak! Sesekali tidak!
Hairan...
HAIRAN.
Satu lagi penyakit yang berlaku di kalangan masyarakat kita.
Menyatakan rasa hairan disertai dengan kutukan, umpatan dan yang sama waktu
dengannya. Tahu menyalahkan saja. Tetapi tidak mencari penyelesaian!
Saya sertakan contoh ; seorang anak gadis yang agak liar
bergaul dengan lelaki. Pergaulan bebas, bersentuhan kulit antara lelaki dan
perempuan tiada langsung rasa geli padanya. Jalan dengan kawan-kawan lelaki ke
sana ke mari. Membuka aurat yang wajibnya ditutup rapi. Tidak solat. Tidak berpuasa
di bulan ramadhan. Langsung tidak pandai mengaji. Kuku diwarna dengan pelbagai
jenis warna. Tidak cukup dengan itu, rambut juga turut diwarna.
Sejujurnya, apa pandangan anda terhadap gadis tersebut?
Hairan lalu mengutuknya? Alangkah kesiannya anda dan saya jika berfikiran
sedemikian. Mengutuknya, mencemuhnya lalu membiarkan dia terus-terusan dalam
keadaan begitu.
Anda fikir anda sudah pasti masuk syurga?
Tiada seorang pun dikalangan kita ini akan tahu dirinya akan
masuk syurga. Dan tiada seorang juga diantara kita yang ingin dicampakkan ke
dalam neraka. Anda faham? Maka, tiada seorang pun diantara kita ni yang tahu
kita akan mati dalam kebaikan dimana kononnya kita ini sudah beramal
sebanyak-banyaknya. Dan tiada seorang pun diantara kita yang tahu gadis seperti
di atas akan kekal dengan keadaan macam itu. ALLAH izinkan, mungkin saja
diakhir hayatnya dia menjadi seorang hamba yang sangat taat kepada ALLAH lalu
darjatnya ALLAH tinggikan dan gadis tersebut menjadi bidadari di syurga nanti.
MashaALLAH.
Anda sudah nampak nasib anda di akhirat? Justeru, mengapa
cepat sangat menghina, mengumpat dan menghukum seseorang?
Lihat, Dekat, Dengar, Faham dan Bantu
Mereka-mereka itu ada yang jahil [tidak tahu], kurang tahu,
kurang faham dan tidak faham. Jadi jangan terus menghukum seseorang dengan
sesuka hati.
Jika anda berasal dari keluarga yang ditarbiyah,
alhamdulillah. Anda bertuah. Tapi perlu anda ingat, tidak semua orang berasal
daripada keluarga seperti anda. Tidak semua orang faham dan tahu ilmu agama
seperti anda. Tidak semua orang faham apa itu dan ini dalam agama.
Mereka itu mad’u. Mereka itu saudara. Mereka itu hamba
ALLAH.
Anda tahu, si penzina yang anda pandang hina itu, ALLAH
izinkan satu hari mereka bertaubat, maka mereka akan jadi sebaik-baiknya hamba.
Tidak seperti orang-orang yang ‘baik’. Mereka mungkin tidak berzina, atau
melakukan dosa. Tetapi mereka selalu dalam kelalaian.. Dan kelalaian yang tanpa
disedari itu akan menjadi racun.
Kalau anda rasa anda mampu, maka dekatilah saudara yang
tersasar sedikit dari landasan kehidupan mereka. Dekati, nasihati dan bimbing
tangannya untuk sama-sama mengenal jalan yang lurus. Jika anda seorang lelaki,
maka dekatilah saudara lelaki, dan jika anda perempuan, tersangat molek anda
membimbing perempuan.
Dalam hidup ini, semua sama. ALLAH hanya akan memandang
TAQWA diantara kita.
Mungkin, mereka itu hilang kompas lalu tersesat
jalan. Dan anda nampak mereka, lalu anda dekati dan memberikan kompas lalu
berjalan beriringan untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Tidak perlu
rasa menyampah, menghina dan mengejek seseorang yang kehilangan kompas.
Hal ini kerana, boleh jadi dia akan sampai dahulu ke destinasi waimah tanpa
kompas sekalipun.
Namun begitu, kita hanya berusaha sedaya mungkin. Dan ALLAH
jualah yang memegang hati-hati sekalian makhluk.
NOTA KAKI
Jangan pandang rendah kepada sesiapa.
Posted by Hafiz Ajmain at 11:29 AM
Labels: Luahan Rasa, Motivasi, Tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment