BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Wednesday, March 20, 2013

Manusia Mudah Lupa


Hidup ini, ALLAH sengaja datangkan ujian. Bukan untuk mendera atau mempermainkan, tetapi untuk menguji sejauh mana ALLAh dalam kehidupan hamba-hambaNya. Adakah hamba yang sedang diuji seorang yang bersyukur dikala senang dan kesusahan? Ataukah seseorang itu hanya menjadi ‘hamba’ kepada Tuhan ketika ditimpa musibah?

Manusia, adakalanya hanya mengingati ALLAH tatkala dirundung masalah. Tetapi melupakan ALLAH ketika berada didalam kesenangan. Padahal, kalau ALLAH mahu, dalam sesaat saja ALLAH boleh binasakan hamba-Nya. Hakikatnya, manusia memang mudah lupa dan sangat jarang bersyukur!

Malu!


Hanya Menjadi Hamba Ketika Susah
Agaknya manusia boleh bersoal jawab dengan diri sendiri, adakah ketika didalam kelapangan, kesenangan ALLAH itu sentiasa ada dalam hati? Atau hanya ketika didalam kesusahan sahaja? Tahu tak, hakikatnya, ramai dikalangan manusia, yakni kita banyak melupakan ALLAh ketika senang dan lapang.

Eh. Janganlah marah. Bukan saya saja buat-buat. Tapi ALLAH sendiri yang mengatakannya dalam al-Quran. Tabarakallah! ALLAH Maha Tahu..

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya (kesusahan), dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk, atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk menghilangkan bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan.” – Yunus : 12

Aduh. Tidakkah kita merasa terpukul dengan ayat ini? Sejujurnya, saya terasa.

Mengaku atau tidak, beginilah sifat manusia! Malah ALLAH menceritakan sifat-sifat sedemikian manusia didalam kitab-Nya.

Apabila berada dalam kesusahan, kegelisahan, kita sentiasa mengingati ALLAH. Dalam keadaan duduk, berjalan, baring, dan kalau boleh, tidak boleh tidur kerana sangat berharap ALLAH akan membantu menyelesaikan masalahnya, sehingga menangis-nangis dan bengkak segala biji mata. Tetapi, apabila ALLAH telah meringankan kesusahannya, manusia itu terus melupakan ALLAh.

Terus lupa pada ALLAH!

Tiada lagi dzikrullah dalam keadaan berdiri, berjalan, baring. Dan lagaknya seperti seseorang yang tidak pernah berdoa menadah tangan dalam keadaan tersedu sedan dihadapan-Nya. Senang cakap, terus berpaling dari ALLAH. Rabbi. . . Inilah sifat manusia. Kikir, kufur nikmat!

Baik. Mari kita bayangkan macam ni.. Katalah ada seseorang yang sungguh-sungguh minta pertolongan dari anda. Orang tu datang berjumpa dengan anda dalam keadaan tersedu sedan, lalu anda merasa kasihan dan menolongnya untuk mencari jalan penyelsaian kepada masalah orang tu. Anda berikan duit dan benda-benda berharga. Tetapi apabila orang yang anda tolong itu sudah senang, lalu memandang anda pun dia tidak ingin. Malah berlagak seperti tidak mengenali anda dan memperlekehkan pertolongan anda. Maka, masa tu, apa perasaan anda?

Marah? Kecil hati? Kecewa?

Tabarakallah

Maka, mari memperhatikan diri sendiri. Apakah ciri-ciri yang ALLAH sebutkan seperti dalam ayat di atas ada pada diri kita? Yang dimana ketika dalam kesedihan, sangat banyak ibadat dan amalan yang dilakukan. Tetapi apabila senang, maka semua amalan 100% ditinggalkan. Wal iyya dzubillah!

Semoga ALLAH mengampuni kita semua.

Berusaha Istiqomah Ketika Susah dan Senang
Benar. Memang begitulah sifat manusia. Namun anda harus jangan redha dengan sifat-sifat itu. Perlu ada sifat mujahadah untuk melawan sifat-sifat yang ALLAH telah sebutkan; melupakan ALLAH ketika senang.

Muslim sejati, tidak hanya mengingati ALLAH ketika susah. Malahan, sangat taqarrub dengan ALLAH ketika senang melebihi ketika susah. Memang tidak mudah. Kerana semuanya melalu frasa dalam mendidik diri sendiri. Dan cuba melawan nafsu dan hasutan syaitan.

Janganlah menjadi hamba kepada kesenangan.
Jangan bertuhankan kesenangan di dunia!

Anda tahu siapa diri anda. Maka, kita boleh tanya diri masing-masing. Anda tahu anda bagaimana. Anda tahu hubungan anda dengan ALLAh bagaimana. Anda tahu amalan anda seperti apa. Dan anda tahu anda seorang hamba yang macam mana.

Saya cuba menyeru dan berusaha melatih diri sendiri agar sentiasa mengingati ALLAH semaksimum yang boleh. Kalau boleh, biarlah kaki anda melangkah ke mana, tetapi sentiasa dzikrullah.

Kita ini lemah. Maka dalam proses berusaha mendidik diri, mohonlah doa kepada ALLAH.

“Ya ALLAH, Engkaulah Tuhanku, Engkau yang memelihara aku, Engkau yang menjagaku. Tidak ada Tuhan yang berkuasa kecuali Engkau. Engkau yang menciptakan aku, dan aku adalah hamba-Mu, dan aku berikrar di hadapan-Mu, bahawa aku tetap dengan janji dan tetap dengan ikrarku kepada-Mu. Engkaulah yang memberikan nikmat-Mu kepadaku sepenuhnya, namun aku mengaku membalas membalas nikmat ini dengan berbuat dosa. Wahai Tuhanku, ampunilah aku kerana hanya Engkau sahaja yang layak mengampuniku.”

Doa Sayyidul Istighfar yang diajarkan dan diamalkan oleh Nabi SAW.

Mengakulah akan kelemahan anda dihadapan ALLAH. Rendahkanlah hati mengakui kebesaran dan memohon keampunan dan kekuatan dari-Nya.

Sahabat, kita ini hamba. Kita tidak punya apa-apa melainkan apa yang ALLAh berikan kepada kita. Maka, tiada guna lupa diri di dunia. Tiada guna bangga diri dengan apa yang dimiliki. Betul. Semua itu akan menjadi sia-sia di akhirat sana.


NOTA KAKI
Perbaiki diri, renungi kembali apa yang kita lakukan seharian

Thursday, March 14, 2013

Masalah Itu Manis


“Jangan katakan kepada Allah kalau kita ada masalah, tapi katakan kepada masalah  kita ada Allah”

Ketika kita ditimpa sebuah masalah, bererti Allah mahu kita lebih dewasa dalam menghadapi hidup ini. Ketika kita ditimpa musibah, bererti Allah ingin agar kita mendekat kepadanya. Ketika kita ditimpa kesusahan, bererti Allah telah menyediakan untuk kita kemudahan.

Kerana sesungguhnya disebalik permasalahan ada proses pendewasaan, disebalik musibah ada hikmah, disebalik kesusahan ada kemudahan.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”( QS. al-Insyirah: 5-6)
Ketika permasalahan datang menghampiri, jangan mengeluh dihadapan sang pencipta, jangan memberontak akan keputusannya apalagi dengan mengatakan bahawa Allah tidak adil. Namun, mintalah agar kita diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapinya, diberikan penyelesaian  yang terbaik bagi kita, dan selalu mengharap dia memberikan ganjaran pahala untuk kita.

Tanpa malam, bulan purnama takkan indah. Tanpa lapar, nikmat makanan takkan terasa. Tanpa dahaga sejuknya air takkan memberi banyak makna. Begitu juga kemenangan atau kemudahan takkan banyak memberi erti tanpa didahului rintangan masalah kesusahan. Setelah mendung terbitlah cerah.

Tak ada hidup tanpa masalah, kerana masalah adalah sunnah-Nya. Yang kita perlukan hanya dada yang lapang dalam menghadapinya. Jika ketabahan yang kita bina, nikmat masalah akan terasa. Jika keluhan yang sentiasa kita bina sengsara masalah akan selalu bertambah.

Masalah datang untuk kita hadapi, bukan untuk dicaci atau dimaki. Masalah adalah medium dalam proses pendewasaan. Tanpa masalah kita takkan pernah dewasa. Tanpa masalah kita takkan menjadi orang yang luar biasa.”Jalan yang lurus dan rata takkan pernah menghasilkan pemandu yang hebat. Laut yang tenang takkan pernah menghasilkan pelaut yang cekap. Langit yang cerah takkan pernah menghasilkan juruterbang yang handal.”

Di saat kita mencari solusi dalam suatu masalah, di saat itulah sebuah proses pendewasaan hidup akan bermula. Maka,senyumlah mereka yang memiliki masalah dan mampu mengatasi masalah tersebut dengan bijak, iaitu dengan tetap selalu bergantung kepada keputusan Allah yang maha adil setelah tawakal dilakukan.

NOTA KAKI
Segala permasaalahan, ada jalan penyelesaiannya :)

Related Posts with Thumbnails