BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Thursday, November 22, 2012

Persediaan Arus Kehidupan


Persediaan.
Satu perkataan yang mengetuk minda saya. Ya, persediaan. Persediaan adalah sebagai salah satu cara manusia mengumpul kekuatan sebelum berhadapan dengan sesuatu. Tidak kira apa yang ingin manusia lakukan. Sama ada perkara itu kecil atau besar.


Langkah pertama adalah, persediaan.
Orang-orang yang berakal dan berjaya adalah mereka yang membuat pertimbangan dengan persediaan yang rapi. Sama ada sempurna atau tidak, belakang cerita. Persoalan yang utama adalah, manusia ingin membuat persediaan dalam hal apapun.


Persediaan Mendahului Kejayaan
Manusia, apabila berjiwa besar dan bercita-cita besar atau ingin mencapai suatu kejayaan yang besar, maka kita haruslah bersedia jiwa dan raga untuk menghadapi segala kemungkinan yang berlaku, halangan dan rintangan yang sememangnya tidak mudah bagi orang-orang yang lemah.

Apa yang ingin anda capai, maka itu adalah fokus utama anda. Anda perlu mempersiapkan zahir dan batin anda untuk menerima sebarang kejutan, kerahan tenaga mahupun kepayahan dalam menuju apa yang anda impikan.


Semuanya dimulakan dengan persediaan selain niat.
Segala perasaan takut, berputus asa, dan mudah mengaku kalah seharusnya sudah ditapis dengan kekuatan iman sebelum bercita-cita besar. Kerana orang yang bercita-cita besar hanyalah bagi orang-orang yang berjiwa besar. Jangan sesekali segala macam perasaan seperti itu bersarang di dalam hati kerana ia akan menjadi suatu penyakit yang akan merebak ke seluruh badan seterusnya melumpuhkan seluruh anggota badan anda.


Selepas Persediaan, Bina Kubu Kekuatan Diri
Dari mana ya manusia dapat kudrat untuk melakukan segala pekerjaan dalam kehidupan seharian? Jawapannya hanya satu, dari ALLAH manusia dapat.


Makanya, mohon kekuatan daripada ALLAH.
Seseorang yang berjiwa besar saya kira akan berjuang bermati-matian demi mempertahankan cita-citanya hatta dilanda badai yang besar. Dia sanggup menghadapi segala macam dugaan dan semangat jihadnya sentiasa tersemat di dalam diri.

Perasaan gentar? Buang jauh-jauh.
Jangan membuat persediaan dengan terburu-buru. Sebaliknya, kita perlu memahami jalan cita-cita yang kita akan tempuhi dan seterusnya kita mempelajari segala taktik untuk sampai ke puncak kegemilangan.

Persediaan tidak menjanjikan kejayaan, andai anda tidak istiqamah.
Oleh itu, anda sebagai seorang yang berjiwa besar dan bercita-cita besar mestilah melangkah dengan teratur dan cantik gaya persembahan hasil persediaan yang anda lakukan selama ini.


Berani Berhadapan Dengan Pelbagai Situasi
Persediaan yang dilakukan itu adalah cara kita mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan sesuatu. Makanya, anda harus berani menghadapi sebarang bentuk risiko dimasa akan datang. Apa yang penting sekali, siap sedia memujuk hati anda untuk terus tabah dan sabar terhadap natijah yang anda lakukan.

Eh, saya bukan berniat melemahkan semangat.
Sebaliknya, saya ingin kita semua bersedia dengan pelbagai bentuk dugaan. Seperti kegagalan dan kejayaan. Anda jangan mengira bahawa kegagalan itu dugaan, sebaliknya kejayaan itu adalah simbol menandakan kemenangan. Jangan. Kemenangan juga adalah dugaan buat kita. ALLAH akan menguji.

Prinsip yang anda pegang juga seharusnya anda genggam seerat-eratnya selagi prinsip itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.


Keberanian anda diperlukan merealisasikan impian anda.
Satu yang perlu kita tanam dalam benak fikiran adalah, segala pekerjaan yang dipaksikan kerana hanya mengharap keredhaan  ALLAH adalah sifat yang mulia dan terpuji sepertimana seorang penuntut ilmu menuntut ilmu dijalan  ALLAH .

Keberanian anda adalah sebagai tunggangan anda untuk pergi lebih jauh. Kerana, tiada tempat bagi orang yang pengecut untuk berada di puncak.

Katanya berjiwa besar. Maka, ambillah pepatah Melayu ini,

“Membujur lalu melintang patah..”


Hakikat Kekuatan dan Kejayaan
Apapun yang kita lakukan, hakikatnya, berjaya atau tidak adalah dengan kehendak  ALLAH juga. Namun,  ALLAH itu Maha Adil dan DIA memberikan hasil sesuai dengan usaha yang kita lakukan demi mencapai cita-cita.

Oleh itu, mohon kekuatan dari  ALLAH .


Manusia itu, takkan punya apa-apa melainkan dengan perhatian ALLAH SWT.
Kita berjuang. Kita menjadi pahlawan atau pejuang. Haruslah diiringi dengan kerendahan hati dan jiwa dihadapan ALLAH. Meskipun dihadapan manusia kita kelihatan tabah dan sabar, biarlah seorang pahlawan itu bersimpuh sujud dan tunduk dihadapan Tuhannya lebih rendah dari rumput yang ada di bumi.

Kerana, disitu kemuliaan sebagai seorang hamba.


NOTA KAKI
Jangan pernah lupakan ALLAH. Kerana ALLAH sentiasa bersama kita.

Wednesday, November 21, 2012

Duhai Dunia


Duhai Dunia

Kesuraman telah dapat dirasai
Bumi yang kesedihan melihat tingkah manusia
Lalu mengeluarkan tangisan dan rengekan
Yang membinasakan manusia

Dunia dan segala apa yang ada didalamnya
Tidak kan kekal selamanya
Hanya saja manusia membilang hari
Memikirkan bahagia yang tidak pernah pasti

Lantunan irama seruan Ilahi
Tidak ramai yang menyahuti


Manusia menjadi tuhan kepada diri sendiri
Mencipta segala peraturan untuk diri melanggar perintah Ilahi
Lahirnya ke dunia dibekalkan dengan fitrah insani
Kesucian, kebersihan rohani fitrah insani

Duhai manusia ciptaan ALLAH
Soalkan kepada diri sendiri
Lantunan cinta Ilahi melantunkan manusia ke tempat beradu yang selesa
Namun manusia tegar memilih belaian syaitan yang menjanjikan tipuan dusta

Mengapa manusia suka mencabar kekuasaan ALLAH?
Oh.. Lupa bahawa mereka milik siapa!
Satu masa, dunia dan segalanya akan hancur
Hancur seperti debu yang berterbangan

Dunia kan hanucr seperti debu yang berterbangan

Kesuraman dunia menyuramkan hati

Tuesday, November 20, 2012

Palestin, Prihatinkah kita?



Antara isu yang paling hangat diperkatakan dunia sekarang adalah mengenai kekejaman rejim zionis yahudi yang menghalang sebarang bentuk bantuan untuk disalurkan ke Gaza. Akhirnya, bantuan dan amanah rakyat sedunia yang dibawa oleh para sukarelawan tidak sampai ke tempat yang dituju.

Amat menyedihkan bukan? Semestinya penduduk Gaza yang mengharapkan bantuan tiba ke tanah air mereka lagi sedih dan terkilan. Apakah tiada pembelaan untuk mereka semua? Dengan apa yang telah terjadi baru-baru ini, moga mata dunia terbuka luas melihat kekejaman rejim zionis yang sememangnya tidak berhati perut.

Penentangan terhadap tindakan rejim zionis itu bukan hanya berdasarkan pada keagamaan sahaja. Tetapi ia menyentuh sensitiviti kemanusiaan masyarakat dunia umumnya tentang penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin. Bagi kita rakyat yang biasa ini, apa yang mampu kita lakukan untuk membantu saudara-saudara kita yang berada di Palestin selain menghulurkan derma dan menerbangkan doa?

Boikot.
Iya. Perkataan boikot barangan Yahudi ini sudah lama bermain di bibir manusia. Namun ada juga diantara kita yang masih berkelakuan seolah-olah dunia sekarang tidak mengalami apa-apa kejadian. Apa yang mampu dilakukan adalah memboikot barangan yang mampu anda boikot. Untuk memboikot semuanya adalah mustahil, kerana kalau anda sedar.. Hidup anda setiap hari dikelilingi oleh barang buatan Yahudi.
Jangan menjadi pemboikot membabi buta.

Untuk penganut Islam khususnya, jika kejadian yang menimpa Palestin sampai sekarang masih belum menyentuh hati kita ini, maka bersedialah anda dari sebarang penyakit hati. Mereka itu, adalah saudara mara kita. Iya, saudara berlandaskan akidah. Bayangkan saja jikalau ada saudara kandung kita yang terbunuh di sana. Apa perasaan kita sekarang?

Kawan-kawan, setiap dari Muslim itu adalah bersaudara!

Khaibar khaibar ya yahud! Ja’isyu Muhammad saufa ya’ud!

NOTA KAKI
No more MacD...

Related Posts with Thumbnails