BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Sunday, May 16, 2010

HapPy Teachers Day!!


Tanggal 16 Mei menjelma. Pasti seluruh negara meraikan Sambutan Hari Guru. Selamat Hari Guru kepada semua pendidik. Guru adalah pencetus kejayaan umat serta pembina tamaddun manusia yang berjaya. Kejayaan kita semua pada hari ini bermula dengan didikan guru yang sabar dan tekun serta ikhlas mendidik anak bangsanya. Tanpa guru, tidak mungkin negara dan rakyat mampu bergerak maju.


Ni ada sedikit nurkilan yang diambil dari Cikgu Siti :

Bismillahirahmaanirrahiim.

“SELAMAT HARI GURU” BUAT SEMUA SAHABAT GURUKU WALAU DI MANA SAHAJA BERADA.

Surat terbuka ini, ku tujukan khas buat semua sahabat guruku sempena Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei 2010. Tema Guru Pembina Negara Bangsa, menjulang aspirasi tinggi tentang harapan yang disandang ke bahumu oleh warganya untuk meletakkan martabat keguruanmu di persada pentas dunia dalam membangunkan negara bangsa.

Sahabatku GURU yang dihormati,

Ketahuilah aku menulis ini bukan kerana nama. Aku juga menulis bukan untuk mengguruimu. Aku tidak punya kehebatan yang jitu atau kekuatan yang ampuh untuk mengubah apa-apa yang ada pada dirimu yang sedia ada kini. Tapi atas cita-citaku untuk meraih diri sebagai Guru Sebenar Guru dan kepedulianku yang tinggi dalam bidang keguruan ini, membawa aku untuk meluahkan apa yang terbuku dihatiku dan mencurahkan segala kandungan hasrat tertinggiku padamu sekalian agar dunia keguruan kita dimuliakan oleh sesiapa sahaja. Walau di mana kita berada. Kita adalah sama dalam apa tujuan pun kerana kita adalah INSAN GURU. Serata dan sejiwa.

Sahabatku GURU yang dimuliakan,

Berdirinya kita dalam taman lautan pendidikan ini, BUKAN kerana perancangan dan rencana kita semata-mata. Tetapi ia adalah satu suratan yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Mengapa aku berkata demikian ? Pernahkah kita mempedulikan antara ratusan ribu calon yang memohon untuk meletakkan cop keguruan di dahi mereka, yang terpilih adalah kita bagi memenuhi unjuran yang tidak sampai 2000 penempatan setiap tahun. Tidakkah kita ini termasuk dalam kalangan yang TERPILIH dan BERTUAH ? Bukankah ini satu keuntungan dan rezeki yang tidak terduga ? Marilah bersyukur atas kurnia dan anugerah kerjaya yang tidak memberi kekayaan buat kita tetapi meletakkan ketinggian mulianya kita di mata anak-anak didik kita sebagai INSAN YANG PUNYA JASA TIDAK TERHINGGA.

Sahabatku GURU yang berjasa,

Jangan membuang masa berbincang untuk mencipta kecemerlangan dalam masyarakat jika tidak berusaha menuju kehebatan jalannya. Oleh itu, kecemerlangan dunia pendidikan ini harus dimulakan dengan diri sendiri. Guru harus MEMPERKASAKAN DIRI dari aspek profesionalisme,dan akauntabiliti, prinsip dalam tugas, keutuhan peribadi yang diteladani, kecekapan dan ketrampilan diri yang unggul, mental dan keintelektualan yang menyerlah keilmuan, kestabilan emosi dalam menangani tribulasi, spiritual yang luhur untuk membina kekuatan diri serta bijaksana dalam kepemimpinannya. Kita sebagai guru adalah pelopor masa depan. Guru adalah pembina jati diri modal insan. GURU ADALAH PEMBINA NEGARA BANGSA.

Ingin ku tinggalkan pesan orang dulu-dulu yang cukup menyedarkan aku betapa menjadi GURU SEBENAR GURU bukan kepalang ajar. Untuk kesekian kalinya, bicara surat terbuka ini, bukan untuk mengguruimu sahabatku GURU. Aku juga ingin mengingatkan diri sendiri betapa kita digalas dengan amanah yang besar dan murni. SIAPAKAH KITA SEBAGAI GURU JIKA TIADA MEREKA (PELAJAR) YANG HENDAK DIAJAR ILMU ?

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

0 comments:

Related Posts with Thumbnails