Apabila kita mengajak agar masyarakat menyokong sistem
kewangan Islami, bukan bermakna kita mengajak agar masing-masing
berduyun-duyun ke institusi perbankan Islami untuk mendapatkan produk-produk
terkini kewangan. Tidak! Bukan itu maksudnya!
Yang paling baik, sudah tentulah hidup dengan sederhana dan
berpada serta rasa cukup (qanaah) dengan rezeki yang ALLAH kurniakan
kepada kita. Sifat tamak dan boros juga mestilah dijauhi dalam
mengharungi kehidupan yang penuh dengan godaan. Godaan di sana sini,
iklan di sana sini dan promosi di sana sini akan bisa memenangkan kehendak
nafsu sekiranya sifat tamak dan boros tidak dikawal.
Memenuhi Keperluan Berurusan Secara Bebas Riba
Wujudnya sistem kewangan Islami adalah supaya ahli
masyarakat dapat memilih untuk berurusan kewangan secara bebas Riba di
institusi perbankan dan seumpamanya. Inilah hasrat dan cita-cita kita
sejak dahulu lagi. Dengan hidayah dan taufiq dari ALLAH, maka ramailah
ummat ISLAM membuat keputusan berhijrah dari perbankan konvensional ke
perbankan Islami, supaya murka dari ALLAH dapat dijauhi.
Dahulu, kita tidak mampu keluar dari belenggu sistem Riba,
tetapi kini, alhamdulillah dengan adanya sistem kewangan Islami, ummat Islam
kini boleh berasa lega untuk berurusan dengan pihak bank. Kerana hal Riba
sudah dicabut darinya dan diganti dengan kontrak-kontrak yang menepati syariat
Islam. Lebih melegakan, setiap proses & kontrak-kontrak ini telah dan
sentiasa dipantau oleh ahli-ahli panel pengawasan syariah masing-masing, bukan
sahaja di peringkat institusi bank itu, malah di peringkat bank pusat.
Kini, kita sudah boleh menyimpan wang di bank, membuat
pelaburan di bank, memohon pembiayaan untuk pembelian kereta, rumah dan memohon
pembiayaan modal perniagaan dengan tidak tidak melibat Riba. Bukan itu
sahaja, malah kita juga boleh melakukan pajak gadai melalui kaedah
ar-Rahnu, berinsurans melalui skim Takaful dan bermacam-macam lagi.
Awasi Nafsu
Namun, di sini ingin saya berpesan kepada diri saya dan
orang lain supaya kita tidak sewenang-wenangnya melibatkan diri dengan sistem
perbankan Islami. Dengan adanya sistem perbankan Islami ini,
seolah-olah masyarakat mula memandang tidak kisah dengan apa-apa produk
yang diperkenalkan, asalkan ia diperkenalkan oleh bank Islami, maka ia baik
fikir mereka.
Maka, mulalah memasang cita-cita untuk menukar kereta baru,
sedangkan kereta lama masih elok boleh dipakai. Mulalah memasang
angan-angan untuk membeli rumah besar, sedangkan rumah yang sedang diduduki
sudah selesa didiami.
Jika dahulu kad kredit dijauhi kerana di sana tersangat
jelas Riba, kini mula berjinak-jinak kembali dengan kad ‘kredit’ Islami yang
berlandaskan syariah. Nafsu membeli mula segar. Ambil dahulu,
kemudian bayar. Hampir semua peralatan rumah dan kelengkapan diri mahu
dinaiktaraf, supaya tidak ketinggalan zaman, menepati gaya hidup
terkini dan ingin diiktiraf.
Pembiayaan peribadi yang suatu ketika dahulu tidak popular
dan sukar diperolehi, kini ia menjadi jalan pintas untuk memenuhkan
selera nafsu berbelanja. Tanyalah mana-mana kakitangan kerajaan atau
swasta yang beragama Islam, mereka kini sudah ramai terjebak dengannya.
“Pembiayaan Peribadi Secara Islam”; itulah slogan institusi-institusi perbankan
Islami tatkala mempromosi pembiayaan peribadi kepada ummat Islam di negara
kita.
Pembiayaan Peribadi yang Menjerat Diri
Saya amat kecewa melihat institusi-institusi perbankan
Islami berlumba-lumba memperkenalkan pembiayaan peribadi. Pernah satu bank
dari Timur Tengah yang baru mendapat lesen mengamalkan perbankan Islami di
Malaysia, antara produk awal yang menjadi hangat dan panas yang diperkenalkan
ialah produk pembiayaan peribadi. Ramai orang Islam pergi memohon
lantaran ciri-cirinya yang sangat menarik.
Saya tidak pelik kenapa mereka berbuat begitu kerana
institusi-institusi ini merupakan institusi yang ingin membuat untung.
Memang tidak salah ingin membuat untung secara yang halal. Tetapi, tidak
bolehkah kita menjadi pihak yang mendidik agar ummat Islam jangan suka meminjam
dan berbelanja. Jika tidak mahu mendidik agar jangan selalu meminjam dan
berbelanja, janganlah pula menjadi pihak yang menggalakkan supaya meminjam dan
berbelanja. Amat menyedihkan.
Yang lebih pelik ialah ummat Islam kita. Dengan adanya
pembiayaan peribadi secara Islam yang bersepah di dalam pasaran, maka
membuak-buaklah nafsu masing-masing. Nafsu diri semakin membesar dan
dimanjai tanpa fikir baik dan buruknya.
Nak kahwin, buat pembiayaan peribadi supaya majlis perkahwinan
menjadi ‘glamour’ mirip selebriti. Nak beli kereta, selain buat
pembiayaan beli kereta, dibuat juga pembiayaan peribadi untuk dibayar duit
muka. Nak melabur pun dibuat juga pembiayaan peribadi. Rumah yang
dulu biasa-biasa sahaja, diubahsuai agar menepati citarasa trend terkini
dengan menggunakan jalan pembiayaan peribadi. Ada yang membuat
pembiayaan peribadi supaya kenderaan boleh dibuat modifikasi agar lebih
mengancam kelihatan dan supaya berprestasi tinggi. Yang
saja-saja membuat pembiayaan peribadi kerana mahu melihat duit yang banyak
berada di dalam akaun bank untuk tujuan kecemasan pun ada juga. Dan
banyak lagi…
Saya bukan mengatakan bahawa 100% salah untuk membuat
pembiayaan peribadi, tetapi fikirlah masak-masak, adakah kita benar-benar perlukannya?
Berbaloikah? Jika sekadar ingin memuaskan nafsu, tinggalkan
sahajalah. Kerana perbuatan membuat pembiayaan peribadi hanya akan
menyusahkan diri kelak.
Inilah antara trend yang jelas saya lihat hasil
dari wujudnya pembiayaan peribadi, apatah lagi ia dipanggil pembiayaan peribadi
secara Islam. Seperti tidak rasa bersalah untuk memilikinya.
Aduhai…
Berpada-padalah, Jangan Tamak dan Boros
Saya ingin nasihatkan diri saya
terutamanya dan anda semua sekali lagi agar berpadalah, janganlah
tamak dan boros. Inilah antara sifat yang baik dalam
berhadapan dengan harta.
Sistem perbankan Islami memberikan kita peluang untuk
melibatkan diri dengan bank secara bebas Riba, alhamdulillah. Kita mesti
sokong ia dengan cara menasihati keluarga dan sahabat agar memilih sistem
perbankan Islami, dan tidak sistem perbankan konvensional yang berasaskan
Riba. Yang sudah melibatkan diri dengan sistem perbankan konvensional,
hijrahlah ke sistem perbankan Islami sekarang. Fikir dalam-dalam dan
pilihlah produk-produk dari sistem perbankan Islami yang dirasakan perlu dan
wajar untuk disertai sahaja. Jangan ikut nafsu semata-mata.
Jika kita telusuri kehidupan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam, Baginda tidak berkehendakkan sangat akan kemewahan dan
kesenangan dunia, jadi kita juga seharusnya mengikuti Baginda sallAllahu
‘alaihi wasallam dalam hal ini. Justeru, berpadalah, jangan tamak dan
boros.
NOTA KAKI
Kami bukan ALONG, kami cuma nak tolong :)
2 comments:
Mengapa anda berkata demikian? Adakah semua yang Islam itu MURAH selain ianya halal? Kemudahan pembiayaan Bank Islam hanya untuk yang mampu membayarnya. Bank Islam bukan badan kebajikan, mereka adalah badan korporat yang mencari keuntungan secara halal. Jika tidak mampu usah membeli aset. Hiduplah dengan apa yang kita mampu. Jika tiada kemampuan membeli rumah maka menyewa sahaja. Jika tiada kemampuan membeli kenderaan sendiri maka naik kenderaan awam.
Mengapa harus menyalahkan badan korporat dalam hal seperti ini mengapa tiada suara dikalangan pengguna muslim untuk mendesak kerajaan mewujudkan pembiayaan peribadi secara qard al hassan menerusi agensi kerajaan sebagai alternatif untuk bersaing dengan bank Islam? Perumpamaan mewujudkan hospital untuk orang awam yang tiada mampu dari berurusan dengan hospital swasta yang mengenakan caj yang tinggi.
Fikir sebelum mengeluarkan artikel dan dapatkan info sebanyak mungkin.
Apa yang penulis ingin mengutarakan ni bukan hanya ditujukan kepada Babk Islam shaja, tapi sistem Perbankan ISLAM yang kita amalkan di malaysia ini.
Sistem masih lagi terdapat aspek menindas si peminjam. Ini dapat dilihat sebagai contoh, pembelian rumah yang berharga RM250,000. Anda sebenarnya bukan membuat pinjaman sebanyak RM 250,00, tetapi hampir RM 500,000 jika tempoh pembiayaan nya 25-30 tahun. Agak keterlaluan kan?
Sepatutnya sistem yang diamalkan PROFIT-SHaring (mudharabah.
Badan koperat yang mana yang tidak mahu RUGI? cuba jelaskan? Semua mahukan untung yang membolehkan para share holder mendapat Bonus dari dana yang disalurkan.
Kerajaan sudah menyediakan dana, tapi kebanyakannya utk business (TEKUN), kerajaan sendiri sedar sekiranya mereka menyediakan secara Qard Hassan, tiada pulangan untung. Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ni, mana ada PIHAK yang begitu baik hati memberi sesuatu tanpa sebarang hasil buat mereka :)
Hospital awam merupakan kemudahan untuk rakyat. Harus sedar, Hospital awam ni hak rakyat, berlainan dengan hospital swasta. Mereka berasaskan keuntungan, bukan seperti hospital awam.
Harap anda faham :)
Post a Comment