Antara ciri lelaki yang baik dan berkualiti ialah tidak
pernah meninggalkan solat.
“Bolehkah wanita melamar lelaki?”
“Tidak jatuhkah maruah seorang perempuan jika mereka melamar
lelaki?”
“Bagaimana cara hendak melamar lelaki?”
“Bukankah perbuatan ini menyalahi adat ibarat perigi mencari
timba?”
Itulah antara persoalan-persoalan yang berlegar di dalam
fikiran para wanita apabila timbul di dalam hati mereka perasaan minat yang
sungguh-sungguh kepada seseorang lelaki sedangkan lelaki tersebut tidak
mengetahui. Sebelum saya menjawab persoalan-persoalan itu, ingin saya
menyentuh beberapa perkara dahulu.
Yang pertama ialah tentang hakikat bahawa kurangnya
lelaki-lelaki soleh pada zaman mutakhir ini. Ini adalah suatu hakikat
yang pahit namun terpaksa ditelan oleh semua orang. Bukan sahaja para
wanita yang secara khususnya perlu berhadapan dengan hakikat ini. Malah
juga terpaksa dihadapi oleh ibubapa yang tentunya sangat risau untuk
menyerahkan anak-anak perempuan mereka kepada bakal suami masing-masing yang
entah bagaimana latar belakangnya.
Yang kedua ialah tentang kepentingan memilih lelaki yang
soleh dan berkualiti sebagai suami. Kerana suamilah tunggak keluarga yang
menegakkan rumahtangga. Dan suamilah nakhoda yang berperanan mengemudi
bahtera rumahtangga. Tanpa tunggak yang utuh dan nakhoda yang berhikmah,
tentunya rumahtangga mudah goyah akibat angin ribut yang meniup dan gelombang
ombak yang memukul. Justeru memilih lelaki yang soleh dan berkualiti
sebagai bakal suami amat penting. Mesti disertai dengan menggunakan akal
dan rasional yang tinggi. Bukan hanya memilih berdasarkan perasaan cinta
semata-mata.
Berdasarkan dua perkara ini tentunya para wanita dapat
memilih tindakan yang sewajarnya apabila tiba-tiba mereka mendapati ada lelaki
soleh dan berkualiti yang layak untuk dijadikan tunggak dan nakhoda buat
rumahtangga yang bakal mereka dirikan kelak. Apakah tindakan itu?
Ya, tepat sekali. Lamarlah lelaki itu…!
Itulah nasihat yang saya selalu berikan apabila saya
didatangkan dengan situasi-situasi seperti ini dalam beberapa emel yang saya
terima. Tentunya juga jangan terburu-buru. Selidik dan kajilah
dahulu latar belakangnya. Sertakan juga dengan doa dan solat istikharah
agar ALLAH memberikan petunjuk kepada persoalan yang penting ini.
Petunjuk dari ALLAH adalah suatu yang sangat penting untuk diminta dalam
membuat semua keputusan.
Sekarang saya akan cuba menjawab beberapa persoalan yang
dilontarkan di awal tulisan ini.
“Bolehkah wanita melamar lelaki?”
Dalam agama Islam, tiada larangan untuk mana-mana jantina
untuk melakukan lamaran. Samada lelaki atau wanita, mereka layak dan
boleh untuk menyatakan hasrat masing-masing untuk memperisteri atau mempersuami
sesiapa sahaja yang mereka berkenan asalkan belum lagi menjadi milik orang
lain.
Malah di dalam sejarah Islam, seorang wanita yang mulia dan
banyak berjasa dalam dakwah awal Islam telah melakukannya. Beliau ialah
Ummu al-Mukminin Khadijah radhiAllahu `anha binti Khuwailid. Beliau telah
melamar seorang lelaki mulia, lagi bijak, lagi amanah, lagi kacak, lagi jujur
iaitu Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam untuk dijadikan suami kepada beliau.
Betapa Khadijah tahu apa yang baik untuk dirinya.
Beliaulah yang memulakan lamaran apabila di sana terlihat pada pandangan
mata dan hatinya seorang lelaki yang layak dan bisa membimbing beliau.
Dan ternyata perbuatannya itu menghasilkan keberuntungan, bukan sahaja di
dunia bahkan juga di akhirat.
Nah, perbuatan melamar lelaki bukan sahaja boleh, malah
telah dilakukan oleh seorang wanita yang mulia dan ahli Syurga, iaitu Khadijah
radhiAllahu `anha. Mencontohi perbuatan orang-orang yang mulia dalam agama,
insyaALLAH akan menghasilkan natijah yang juga mulia.
“Tidak jatuhkah maruah seorang perempuan jika mereka melamar
lelaki?”
Ini antara soalan yang selalu juga diutarakan oleh para
wanita apabila membicarakan soal ini. Mari kita lihat Khadijah radhiAllahu
`anha dalam memahami situasi ini.
Khadijah radhiAllahu `anha bukanlah hanya wanita biasa dalam
masyarakatnya. Beliau adalah seorang yang dipandang mulia dan tinggi oleh
masyarakatnya. Harta kekayaannya besar. Perniagaannya juga berjaya.
Beliau bukan sahaja hartawan dan usahawan, tetapi juga
seorang ‘selebriti’ yakni tokoh yang disegani. Telah beberapa kali
Khadijah dilamar oleh orang-orang kaya dan kenamaan, namun ditolaknya.
Pilihan beliau teralih kepada seorang pemuda yang tidak punya apa-apa.
Tiada kekayaan. Tiada harta. Tiada pangkat. Apa yang
hanya ada pada lelaki tersebut ialah akhlaq yang baik, amanah, jujur, bijaksana
dan merupakan keturunan yang mulia. Lelaki itu ialah Muhammad al-Amin
sallAllahu `alaihi wasallam.
Pada ketika itu, Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam
berumur 25 tahun dan belum lagi menjadi Nabi dan Rasul. Ini bermakna
tiada apa-apa kelebihan yang terdapat pada Baginda melainkan apa yang telah
disebut di atas. Yang tertarik pada pandangan Khadijah ialah peribadinya
sahaja.
Cuba lihat; seorang wanita yang hartawan, usahawan,
jelitawan dan bangsawan tiba-tiba datang melamar seorang lelaki biasa.
Pada pandangan masyarakat ia mungkin menjatuhkan maruah. Tetapi
pada pandangan Khadijah, ia bukan. Bahkan beliau tahu ia untuk kebaikan
buat dirinya.
Dan hasil perbuatannya itu, bukan maruah yang jatuh.
Tetapi maruah dan kedudukannya diangkat setinggi-tingginya hingga hari
ini, hingga Hari Kiamat. Beliau adalah Ummu al-Mukminin dan dipuji oleh
penduduk bumi dan langit.
Perbuatan melamar lelaki yang soleh dan berkualiti bukanlah
suatu yang menjatuhkan maruah. Bahkan ia melambangkan bahawa wanita itu
mempunyai maruah yang tinggi dan mahu maruahnya dibela oleh lelaki yang layak
dan tinggi maruahnya. Dan insyaALLAH, maruah itu akan terus terjaga
sampai Hari Akhirat.
“Bagaimana cara hendak melamar lelaki?”
Di dalam kitab sirah ada diceritakan bagaimana Khadijah
melamar Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. Sebenarnya Khadijah pada
awalnya telah tertarik dengan pemuda bernama Muhammad setelah mendengar berita
tentang sifat-sifat mulianya. Khadijah lalu menawarkan Muhammad
sallAllahu `alaihi wasallam untuk membawa barang dagangannya ke Syam.
Kembali ke Makkah dari Syam, Khadijah mendapati
keuntungannya berganda. Keuntungan yang banyak ini hasil daripada
peribadi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam yang baik, jujur, amanah, akhlaq
yang mulia, fikiran yang tajam dan tutur kata yang benar. Sifat-sifat ini
telah diceritakan oleh Maisarah iaitu hamba Khadijah yang dihantar membantu
Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam berdagang di Syam.
Khadijah mendapati apa yang dicarinya sudah ditemui.
Hasrat murninya itu telah disampaikan seorang temannya yang bernama
Nafisah binti Muniyyah. Nafisah lalu menemui Muhammad sallAllahu `alaihi
wasallam dan menyatakan apa yang telah disampaikan Khadijah kepadanya.
Baginda menerima dengan baik apa yang dihasratkan oleh Khadijah melalui
Nafisah itu.
Lalu Baginda memberitahu bapa-bapa saudaranya tentang hal
itu. Kemudian bapa-bapa saudara Baginda pergi menemui bapa saudara
Khadijah untuk melamarnya. Ekoran daripada itu, berlangsunglah
perkahwinan dua insan yang mulia ini. Khadijahlah wanita pertama yang
dinikahi Baginda sallAllahu `alaihi wasallam dan Baginda tidak mengahwini
wanita lain sehinggalah Khadijah meninggal dunia.
Dapat diambil iktibar daripada kisah yang mulia ini tentang
cara yang baik bagaimana wanita melamar lelaki. Caranya ialah dengan
menghantar wakil menjumpai lelaki yang dihasratkan itu lalu bertanya tentang
niat yang mulia tersebut. Jika dipersetujui, maka pihak lelakilah yang
datang melamar si wanita sebagaimana adat masyarakat kita dan umumnya di
mana-mana.
“Bukankah perbuatan ini menyalahi adat ibarat perigi mencari
timba?”
Sebagaimana telah disebut di atas, perbuatan melamar lelaki
telah dicontohkan kepada kita oleh wanita yang sangat mulia iaitu Khadijah
radhiAllahu `anha. Natijah dari perbuatan tersebut telah memberikan
kebaikan kepada beliau. Wanita yang solehah, mulia dan suci tentu mahu
yang soleh, mulia dan suci juga untuk dirinya.
Juga telah dikongsikan di atas bagaimana caranya untuk
melamar lelaki. Caranya tetap sama sebagaimana adat dalam masyarakat
kita, cuma hasratnya sahaja dinyatakan terlebih dahulu oleh si wanita.
Langkah-langkah seterusnya dilakukan mengikut adat kebiasaan iaitu pihak
lelaki datang melamar pula.
Jika masyarakat mahu ibaratkan juga ia sebagai perigi
mencari timba, biarlah. Katakan kepada mereka bahawa perigi yang ada ini
adalah perigi istimewa. Perigi yang suci. Perigi yang mulia.
Dialah yang memilih timba mana yang layak untuk menimba kebaikan dari
perigi itu. Bukan sewenang-wenangnya si timba datang mahu mengaut
kebaikan di dalam perigi ini. Perigi ini perigi yang memilih timba, bukan
perigi yang dipilih timba!
Katakan juga kepada mereka bahawa air dalam perigi ini
bersih. Dia tidak mahu air dalam perigi itu dicemari dek timba yang kotor
dan tidak mencapai tahap piawai yang ditentukan sendiri oleh si perigi.
Justeru, sebab itulah perigi sendiri yang mencari timba.
Jika kata-kata di atas tidak sesuai diucapkan kepada orang,
lalu berbisiklah kepada diri sendiri sahaja. Supaya kalian tahu siapa
diri kalian. Dan kalian mahu hanya yang terbaik buat diri kalian.
Nasihat Buat Wanita, Lelaki dan Ibubapa
Sebagai penutup, saya ingin juga menasihatkan buat
wanita-wanita di luar sana terutama buat wanita-wanita solehah. Telah
banyak kedengaran di dalam berita dan mulut-mulut orang tentang nasib kurang
baik yang dialami oleh para isteri yang diperlakukan oleh suami mereka.
Antara sebabnya ialah mereka memlihi suami berdasarkan hanya kepada
perasaan. Nilai rasional dan akal ditolak ke tepi dalam memilih bakal
suami.
Ada juga kerana termakan budi. Disebabkan si lelaki
atau keluarga si lelaki telah banyak menabur budi maka berkahwinlah mereka.
Sedangkan sepatutnya perkara ini difikirkan semasak-masaknya terutama
dalam menilai peribadi, akhlaq dan nilai agama lelaki tersebut.
Justeru, buat wanita saya nasihatkan fikirlah baik-baik dan
gunalah akal dan rasional yang waras dalam memilih pasangan hidup kalian.
Mintalah kepada ALLAH akan petunjuk dan berdoalah kepada ALLAH agar DIA
berkati. Dan gunakanlah hak-hak kalian sebagaimana Islam telah meluaskan
hak kalian dalam hal memilih pasangan.
Buat lelaki, saya ingin menasihatkan agar jika kalian
menerima lamaran daripada wanita, ketahuilah bahawa wanita itu telah melihat
suatu yang baik lahir dari diri kalian. Hormatilah dia. Jangan
kecilkan hatinya. Jangan perli dan hina dia. Dia cuma mengikuti sunnah
Khadijah, Ummu al-Mukminin radhiAllahu `anha yang mahu hanya terbaik buat
dirinya. Jika kalian setuju, katakanlah. Jika kalian tidak setuju,
katakanlah juga. Dan katakanlah samada setuju atau tidak setuju itu
dengan penuh rasa hormat dan mulia.
Buat saya dan ibubapa yang membaca tulisan ini, saya
menasihati diri ini dan kalian agar prihatinlah terhadap bakal suami anak-anak
gadis kita. Kita mahu yang terbaik buat mereka. Baik bukan hanya di
dunia. Tetapi yang lebih utama ialah baik di negeri akhirat sana.
Jika terlihat di sana ada pemuda yang soleh, janganlah segan-segan untuk
bertanya. Risiklah sudahkah dia berpunya. Jika belum dan ternyata
dia seorang lelaki yang soleh hasil selidikan kalian, nyatakan hasrat yang
mulia itu.
Sungguh, kita siang malam memikirkan kebaikan untuk
anak-anak kita. Kita doa yang baik-baik untuk anak-anak kita. Kita
mahu dikumpulkan di Syurga sekeluarga. Maka, dalam hal memilih suami
untuk mereka juga, hendaklah kita teliti dan proaktif. Kerana warna suami
akan kuat tercurah mewarnakan isteri. Jika mahu anak-anak kita baik, maka
pilihlah suami yang baik buat mereka. Kita harus mainkan juga peranan.
Semoga apa yang ditulis ini terdapat manfaat padanya,
insyaALLAH. Mudah-mudahan ALLAH berikan kita semua kebaikan di dunia,
kebaikan di akhirat dan dijauhkan kita semua dari azab api neraka, amin…
NOTA KAKI
Timba mencari perigi apa salahnya :)
0 comments:
Post a Comment