BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Friday, April 27, 2012

Sebab Sebab Kenapa Perlu Berhenti Merokok!




Berhenti sekarang! Jangan tangguh esok! Bukan senang hendak berhenti dari tabiat merokok.  Bagi saya yang tidak pernah merokok, mungkin senang untuk menasihatkan kenalan-kenalan saya agar berhenti merokok.  Hakikatnya dalam hati mereka memang mempunyai niat dan azam untuk berhenti merokok.  Namun, mereka selalu gagal akibat banyak faktor.  Antara faktor itu ialah merokok sudah menjadi tabiat yang sukar ditinggalkan, ketagihan dan juga dorongan kawan-kawan.

Kenaikan kadar cukai ke atas produk tembakau dan kempen ilustrasi bahaya rokok yang tertera di atas kotak rokok gagal membuatkan para perokok meninggalkan tabiat yang sudah sebati dengan kehidupan mereka.  Namun, ada juga yang berjaya berhenti dari merokok.  Sepemerhatian saya, ada faktor-faktor yang memberikan mereka motivasi yang lebih untuk berhenti merokok.

Antara faktornya ialah agama.  Telah banyak fatwa dari para ulama Islam yang mengatakan bahawa merokok adalah haram hukumnya di sisi Islam.  Saya sendiri ketika remaja dulu pernah membaca atau mendengar fatwa tentang pengharaman merokok sekitar tahun 1991 atau 1992.  Fatwa tersebut telah dikeluarkan oleh ulama-ulama dari timur tengah.

Kini, alhamdulillah fatwa-fatwa di Malaysia yang dahulunya mengatakan bahawa merokok adalah makruh atau tidak jelas tentang pengharamannya, mula bertegas bahawa merokok adalah haram.  Dan keputusan tersebut telah disebarkan di banyak ceramah di surau-surau dan masjid-masjid.  Malah, ada sebahagian institusi agama mengeluarkan poster kempen memaklumkan tentang pengharaman merokok.



Hasil dari kempen ini, maka ramailah yang telah meninggalkan perbuatan merokok.  Kepayahan yang terpaksa mereka lalui tentunya dikira sebagai mujahadah di sisi ALLAH.  Mereka akur dengan ketentuan agama dan tunduk patuh dengannya.  Semoga ALLAH membalasi mereka dengan hasanah, amin…

Saya mempunyai beberapa orang rakan yang berhenti merokok.  Selepas mendapat anak yang pertama, mereka mula menanam azam untuk berhenti merokok.  Mulanya mereka mengurangkan bilangan puntung yang mereka hisap.  Akhirnya, mereka berjaya meninggalkan tabiat itu terus.

Kasihan kepada anak-anak yang terpaksa menyedut asap busuk dan bahaya dari ibubapa mereka yang merokok.

Seperti yang telah saya sebutkan di atas, bukan senang hendak berhenti merokok.  Namun, disebabkan oleh kasih-sayang dan tidak mahu menyebabkan anak-anak menghidu asap busuk dan bahaya dari rokok, maka dikorbankan tabiat tersebut.  Betapa besar kasih-sayang seseorang terhadap anak-anak dan ahli keluarga sehingga berjaya menukarkan seseorang dari perokok tegar kepada perokok ringan, seterusnya tidak merokok.

Banyak lagi faktor lain yang menyebabkan mereka berhenti merokok.  Namun, faktor dalaman iaitu kasih sayanglah yang menyebabkan seseorang itu dapat berhenti merokok.  Yang pertama, sayangkan agama.  Dan yang kedua, sayangkan keluarga.

NOTA KAKI
Berhentilah merokok.  Semoga ALLAH  mempermudahkan niat dan azam kalian untuk berhenti merokok, amin…

0 comments:

Related Posts with Thumbnails