Kadang-kadang kita berasa kagum dengan kehebatan seseorang
yang boleh istiqamah yakni berterusan dalam melakukan amal-amal soleh.
Rasa cemburu pun ada juga.
Kita tertanya-tanya bagaimana seseorang lelaki itu boleh
setiap waktu mendirikan solat fardhunya di masjid? Bagaimana lelaki itu
boleh setiap malam bangun untuk mendirikan solat-solat sunat? Bagaimana
dia boleh istiqamah dengan puasa sunat hari Isnin dan Khamis? Hairan
macam mana dia boleh setiap hari menghabiskan berjuz-juz lembaran dari
al-Quran? Kagum bagaimana dia boleh berterusan dapat hadir ke
majlis-majlis ilmu setiap kali diadakan? Pelik bagaimana seseorang wanita
itu boleh istiqamah dan tahan dengan pakaian yang tebal, bertudung labuh, malah
berniqab pula?
Dari mana mereka dapat kekuatan untuk istiqamah ini??!
Tentulah mereka ini bukan mendapat kekuatan itu dalam masa
sehari atau seminggu. Kekuatan dalam bentuk istiqamah ini sebenarnya
datang dari sifat disiplin mereka sendiri. Sudah tentulah juga ia datang
bersebabkan hidayah dan taufiq daripada ALLAH, TUHAN yang berkuasa memberikan
petunjuk dan kekuatan itu.
Peraturan Yang Bersifat Memaksa
Saya telah mendengar beberapa perkongsian pengalaman dari
ahli ilmu dan ahli ibadah tentang bagaimana mereka sebenarnya telah hidup dalam
sistem yang memerlukan disiplin yang tinggi. Peraturan yang telah
ditetapkan oleh institusi pondok dan sekolah agama yang mereka duduki telah
menyebabkan mereka telah terbiasa dengan amalan-amalan ibadah.
Contohnya amalan bersolat malam ada dijadikan sebagai
peraturan wajib sesebuah sekolah agama di luar negara, peraturan mewajibkan
membaca doa-doa yang ma’thur setiap hari sebelum sekolah bermula, peraturan
mewajibkan solat fardhu secara berjemaah, peraturan mewajibkan pelajar-pelajar
lelaki berpakaian jubah serta berserban dan pelajar perempuannya bertudung
labuh dan berniqab, membiasakan pelajar-pelajar berpuasa sunat pada hari Isnin
dan Khamis dan lain-lain lagi.
Memang biasa kedengaran ada yang membantah
peraturan-peraturan yang keras ini samada bantahan itu datang dari para pelajar
atau ibubapa. Ada sebahagian pelajar yang berasa tertekan dan ‘terseksa’
dengan peraturan ini. Ada yang membenci kepada peraturan-peraturan yang
berbentuk paksaan sebegini.
Namun, setelah beberapa lama terbiasa dengannya, akhirnya
amalan-amalan tersebut menjadi rutin kepada mereka. Ia sudah mendarah
daging di dalam kehidupan mereka. Bak kata orang tua, “alah bisa tegal
biasa”. Sehingga akhirnya perasaan benci dan terpaksa itu bertukar kepada
suka dan rela.
Paksa Diri Sendiri Untuk Biasakan Diri Dengan Amal Soleh
Samada kita setuju atau tidak dengan sistem paksaan dan
peraturan yang menyusahkan pelajar-pelajar ini, hakikatnya ia telah berjaya
melahirkan ramai ahli ilmu dan ahli ibadah yang dihormati di kalangan
masyarakat.
Mengambil pengajaran dari itu, kita sebenarnya perlu memaksa
diri untuk melakukan amal-amal soleh seperti yang telah saya sebutkan di awal
permulaan tulisan ini. Untuk menunggu ia tiba-tiba mendarah daging dan
tiba-tiba terasa enak untuk beribadah adalah suatu yang agak mustahil.
Mungkin kalian antara orang yang biasa melakukan amal soleh
seperti bersolat di masjid secara berjemaah, berpuasa sunat, hadir majlis ilmu,
qiamullail dan lain-lain lagi. Tetapi tentu kalian juga kadang-kadang
didatangi juga akan perasaan malas dan lemah untuk meneruskannya. Sifat
istiqamah inilah yang jarang ada pada diri ramai orang yang melakukan ibadah.
Ia sifat saya dan mungkin kalian juga.
Jadi, hendak atau tidak hendak, kita mesti paksakan diri.
Mesti kuatkan disiplin. Mesti berlindung dengan ALLAH dari sifat malas
dan lemah. Mesti berlindung dengan ALLAH dari bisikan Syaitan.
Mesti mohon hidayah dan taufiq dari ALLAH. Mesti sedar bahawa tiada
daya dan kekuatan melainkan dengan izin ALLAH. Mesti buat macam-macam
usaha seperti jadual, sistem denda dan sistem alert kepada diri
sendiri untuk dapatkan istiqamah.
Contohnya solat berjemaah di masjid. Kita mesti paksa
diri dengan mengingatkan diri sendiri akan kelebihan dan ganjaran dari ALLAH
tentang amalan perbuatan itu. Tentang marahnya Nabi sallAllahu `alaihi
wasallam kepada lelaki-lelaki yang tinggal berdekatan masjid yang tidak hadir
sama solat di masjid berjemaah. Mesti sediakan jadual waktu solat supaya
kita maklum tentang komitmen kita kepada waktu-waktu tersebut untuk berada di
masjid. Mesti buat alert system samada di dalam telefon bimbit
atau jam. Mesti minta rakan-rakan atau pasangan tegur untuk pergi solat
di masjid. Dan sebagainya.
Begitu juga tentang amalan-amalan soleh yang lain…
Sungguh tuan-tuan sekalian, kita mahukan diri kita ini hidup
dalam keredhaan ALLAH. Mahukan anggota-anggota yang dipinjamkan ALLAH ini
berbuat amalan-amalan ibadah yang diredhai ALLAH. Mahu istiqamah
dengannya. Mahu menjadi orang soleh seperti orang-orang soleh yang lain.
Tidak cukup hanya mahu berbuat begitu. Tidak cukup
hanya kagum dan cemburu dengan orang-orang soleh. Tidak cukup!
Kita mesti paksakan diri. Semoga sedikit demi sedikit
hasil dari tindakan memaksa diri itu menghasilkan istiqamah di dalam diri kita,
insyaALLAH. Dan akhirnya menjadikan diri kita sebagai salah seorang
hambaNYA yang amalan soleh bukan lagi lebih sebagai paksaan kepada diri, tetapi
ia bertukar manis dan lazat tatkala melakukannya. Seterusnya memperbaiki
kedudukan kita di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, amin…
NOTA KAKI
Sekadar berkongsi :)
0 comments:
Post a Comment