Thursday, April 26, 2012
Sucikan HATI, Bersihkan JIWA
Pertama sekali kita kena faham
idea atau ilham datangnya dari dua sumber. Pertama sumber yang baik dan kedua
sumber yang tidak baik. Idea dari sumber yang baik pun kadang-kadang sebenarnya
datang dari sumber yang tidak baik. Bukankah syaitan menggunakan pelbagai
taktik untuk menipu manusia. Diberinya dorongan untuk melakukan sembahyang
tetapi tengah-tengah sembahyang itu dibangkitkan rasa riak, leka dan lalai.
Sebenarnya memang agak sukar
untuk mendapat idea dari sumber yang baik. Maklumlah kita ni baik manalah.
Kebaikan kita dibauri pelbagai perasaan, kalau nampaknya baik sekarang,
hujungnya berkait juga. Macam orang berbuat baik dengan kita sebenarnya hendak
meminjam duit di hujung.
Jadi, usah hairan dengan orang
yang banyak idea. Mungkin ideanya datang dari sumber jahat yang diwarnai oleh
warna-warna menarik sehinggakan ia kelihatan baik.
Oleh itu, penyucian jiwa kena
dilakukan berterusan. Dia tidak boleh berpuas hati dengan proses penyucian
seminggu sekali sahaja tetapi mesti dilakukan hari-hari. Bagaimana? Bukankah
kita biasa melihat orang lelaki hanya sembahyang Jumaat seminggu sekali atau
setahun sekali pada hari raya?
Lakukanlah proses penyucian hati
setiap hari paling tidak lima kali sehari semalam, iaitu sembahyang fardu.
Sistem omboh dalam kereta kita akan menghimpun karbon jika minyak yang
digunakan tidak bersifat menyuci. Demikianlah jiwa kita manusia. Setiap saat ia
menghimpun jelaga kekotoran, maka penyucian mesti dilakukan setiap masa.
Ini bermakna solat lima kali
sehari semalam mungkin tidak mencukupi. Tambahlah dengan solat-solat sunat dan
amalan-amalan zikir yang lain. Misalnya amalan Zikir Al-Mathurat, ia satu
teknik menyucikan hati yang amat berkesan.
Orang yang bersih jiwanya
selalunya juga akan memiliki minda yang tenang. Minda yang tenang atau dalam
arus alpha ini, insya-Allah bakal mencetuskan ilham-ilham yang lebih baik.
Manakan tidak, hatinya suci, mindanya bersih, apalagi idea yang akan muncul?
Apakah masih buruk?
Kalau anda lihat sekeliling,
ramai orang memakai topeng berwajah syaitan ketika menjalani hidup
masing-masing. Tanyalah orang ini, apakah dia ada amalan-amalan zikir sebagai
proses penyucian hati dan minda? Selalunya tiada. Tanyalah pula orang yang
penuh dendam kesumat, apakah mereka orang yang solat? Jawapannya tidak. Jika
iya pun, solat mereka itu tiadalah nilainya di sisi ALLAH sebab ia dilakukan
dengan tergesa-gesa, tidak betul, atas maksud-maksud tertentu dan sebagainya.
Bukankah ALLAH berfirman, antara maksudnya, solat itu mencegah dari
kemungkaran. Andainya seseorang itu solat tetapi berbuat mungkar juga, itu
tandanya solat-solat berkenaan tidak diterima.
Andainya anda suatu hari
dikurniai idea yang banyak, anda akan dapati anda semakin banyak dimusuhi. Eh,
mengapa? Lumrah manusia, tidak suka melihat orang lebih daripada dirinya.
Tambahan jika anda bukanlah siapa-siapa, kelulusan pun tiada tetapi idea anda
mantop, dan meletup-letup, anda akan dapati ramai orang sakit hati oleh
keupayaan anda itu. Cabaran untuk anda kekal sebagai kilang idea mungkin
terencat dek sibuk melayan kerenah golongan ini.
Nasihat saya, fokus. Usah lari
dari fokus apa-apa juga perkara baik yang anda lakukan. Padukan niat segalanya
yang anda lakukan adalah kerana ALLAH untuk ALLAH. Itulah motivasi terbaik
insan hebat berdepan dengan manusia yang tidak ingin bersaing secara sihat.
Dalam kata lain, jiwa yang kotor sudah tentu tidak akan sealiran dengan jiwa
yang bersih, suci lagi syahdu.
NOTA KAKI
Fokus-fokus, hidup ini perlu ada matlamat :)
Posted by Hafiz Ajmain at 7:31 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment