BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Saturday, January 1, 2011

Mengapa ku pilih dia?


Ya....pencarianku sudahpun berakhir, tanpa aku benar-benar menyedari bilakah saat itu menjelma. Akhirnya kupilih 'dia', kerana AGAMA yang ada pada dirinya.

Mungkin dia tidak sehebat Khadijah, tidak sepintar `Aisyah, dan tidak juga setulus Hafsah Ummahatul-Mu'minin...Namun ku sedar, daku jua tidak memiliki wibawa seagung Baginda Rasulullah s.a.w, dan aku tidak juga mampu menggenggam taqwa seteguh Para Sahabat Radhiyallahu `Anhum.

Begitupun, 'dia' tetap wanita yang terhebat pernah ku temui sepanjang hidupku. Dia mungkin tidak sewarak Fatimah, juga tidak sezuhud Rabi`ah, tetapi aku dapat lihat kecekalannya memelihara iman yang dimiliki olehnya.

Kupilih 'dia' kerana akhlaknya..kesungguhannya menjunjung syariat, dalam kesukaran dan kepayahan kehidupan dunia yang semakin mencabar. Ketika umat ini majoritinya bagaikan buih-buih di lautan, 'dia' pula bagaikan sebutir mutiara putih yang tersembunyi di celah pasir...sungguh beruntung mana-mana lelaki akhir zaman yang berjaya memiliki dirinya.

Kupilih 'dia' kerana sifatnya yang amat sederhana. Dia tidaklah seanggun Hawwa', atau secantik Iqlima..dan dia tidak juga memiliki harta serta pengaruh sehebat Bilqis. Akan tetapi dialah yang berjaya menambat hatiku ini, mengukir kasih di dalam jiwaku sedalam-dalamnya..meskipun diriku ini tidak memiliki ilmu setinggi Adam, tidak punyai hati seikhlas Habil..dan tidak mampu memikul amanah seberat Sulaiman, `alaihimus-Salam.

Kupilih 'dia', kerana kufu antara dirinya dengan diriku; kebolehannya yang peka membaca suasana persekitaran, serta keupayaannya menterjemah gerak hati menjadi kata-kata...dia umpama cermin bagiku, dan aku pula bagaikan permukaan tasik yang hening untuknya.

Kupilih 'dia', kerana dia umpama air yang menyuburkan tanah yang tandus dipanah bahang mentari..dan aku harap dia memilihku, supaya aku dapat menjadi tanah yang menerbitkan mata air dan tanaman, untuk manfaat seluruh alam.

Aku sedar, mungkin diriku ini bukanlah lelaki yang paling baik untuknya. Masih ramai lelaki lain yang layak untuk menjadi imam di hadapannya. Namun daku tak putus memohon kepada Sang Pencipta yang Maha Esa, agar mengizinkan daku menjadi muazzin kepada zuriat yang bakal dilahirkan olehnya...Semoga daku ini diperkenankan menjadi ketua keluarga untuknya..yang bakal diamanahkan menghulur zakat fitrah bagi pihaknya.

Semoga 'dia' menjadi suri untukku sepanjang sisa hayatku di dunia, dan menjadi pemimpin bidadari yang menyambut ketibaanku di akhirat nanti, moga kami terselamat dari siksaanNya. Ya~Rabb, perkenankanlah..



NOTA KAKI
Tanggal 26 Disember 2010, aku bergelar seorang suami. Doakan kami berbahagia sehingga ke akhir hayat :)

Related Posts with Thumbnails