BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Thursday, November 22, 2012

Persediaan Arus Kehidupan


Persediaan.
Satu perkataan yang mengetuk minda saya. Ya, persediaan. Persediaan adalah sebagai salah satu cara manusia mengumpul kekuatan sebelum berhadapan dengan sesuatu. Tidak kira apa yang ingin manusia lakukan. Sama ada perkara itu kecil atau besar.


Langkah pertama adalah, persediaan.
Orang-orang yang berakal dan berjaya adalah mereka yang membuat pertimbangan dengan persediaan yang rapi. Sama ada sempurna atau tidak, belakang cerita. Persoalan yang utama adalah, manusia ingin membuat persediaan dalam hal apapun.


Persediaan Mendahului Kejayaan
Manusia, apabila berjiwa besar dan bercita-cita besar atau ingin mencapai suatu kejayaan yang besar, maka kita haruslah bersedia jiwa dan raga untuk menghadapi segala kemungkinan yang berlaku, halangan dan rintangan yang sememangnya tidak mudah bagi orang-orang yang lemah.

Apa yang ingin anda capai, maka itu adalah fokus utama anda. Anda perlu mempersiapkan zahir dan batin anda untuk menerima sebarang kejutan, kerahan tenaga mahupun kepayahan dalam menuju apa yang anda impikan.


Semuanya dimulakan dengan persediaan selain niat.
Segala perasaan takut, berputus asa, dan mudah mengaku kalah seharusnya sudah ditapis dengan kekuatan iman sebelum bercita-cita besar. Kerana orang yang bercita-cita besar hanyalah bagi orang-orang yang berjiwa besar. Jangan sesekali segala macam perasaan seperti itu bersarang di dalam hati kerana ia akan menjadi suatu penyakit yang akan merebak ke seluruh badan seterusnya melumpuhkan seluruh anggota badan anda.


Selepas Persediaan, Bina Kubu Kekuatan Diri
Dari mana ya manusia dapat kudrat untuk melakukan segala pekerjaan dalam kehidupan seharian? Jawapannya hanya satu, dari ALLAH manusia dapat.


Makanya, mohon kekuatan daripada ALLAH.
Seseorang yang berjiwa besar saya kira akan berjuang bermati-matian demi mempertahankan cita-citanya hatta dilanda badai yang besar. Dia sanggup menghadapi segala macam dugaan dan semangat jihadnya sentiasa tersemat di dalam diri.

Perasaan gentar? Buang jauh-jauh.
Jangan membuat persediaan dengan terburu-buru. Sebaliknya, kita perlu memahami jalan cita-cita yang kita akan tempuhi dan seterusnya kita mempelajari segala taktik untuk sampai ke puncak kegemilangan.

Persediaan tidak menjanjikan kejayaan, andai anda tidak istiqamah.
Oleh itu, anda sebagai seorang yang berjiwa besar dan bercita-cita besar mestilah melangkah dengan teratur dan cantik gaya persembahan hasil persediaan yang anda lakukan selama ini.


Berani Berhadapan Dengan Pelbagai Situasi
Persediaan yang dilakukan itu adalah cara kita mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan sesuatu. Makanya, anda harus berani menghadapi sebarang bentuk risiko dimasa akan datang. Apa yang penting sekali, siap sedia memujuk hati anda untuk terus tabah dan sabar terhadap natijah yang anda lakukan.

Eh, saya bukan berniat melemahkan semangat.
Sebaliknya, saya ingin kita semua bersedia dengan pelbagai bentuk dugaan. Seperti kegagalan dan kejayaan. Anda jangan mengira bahawa kegagalan itu dugaan, sebaliknya kejayaan itu adalah simbol menandakan kemenangan. Jangan. Kemenangan juga adalah dugaan buat kita. ALLAH akan menguji.

Prinsip yang anda pegang juga seharusnya anda genggam seerat-eratnya selagi prinsip itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.


Keberanian anda diperlukan merealisasikan impian anda.
Satu yang perlu kita tanam dalam benak fikiran adalah, segala pekerjaan yang dipaksikan kerana hanya mengharap keredhaan  ALLAH adalah sifat yang mulia dan terpuji sepertimana seorang penuntut ilmu menuntut ilmu dijalan  ALLAH .

Keberanian anda adalah sebagai tunggangan anda untuk pergi lebih jauh. Kerana, tiada tempat bagi orang yang pengecut untuk berada di puncak.

Katanya berjiwa besar. Maka, ambillah pepatah Melayu ini,

“Membujur lalu melintang patah..”


Hakikat Kekuatan dan Kejayaan
Apapun yang kita lakukan, hakikatnya, berjaya atau tidak adalah dengan kehendak  ALLAH juga. Namun,  ALLAH itu Maha Adil dan DIA memberikan hasil sesuai dengan usaha yang kita lakukan demi mencapai cita-cita.

Oleh itu, mohon kekuatan dari  ALLAH .


Manusia itu, takkan punya apa-apa melainkan dengan perhatian ALLAH SWT.
Kita berjuang. Kita menjadi pahlawan atau pejuang. Haruslah diiringi dengan kerendahan hati dan jiwa dihadapan ALLAH. Meskipun dihadapan manusia kita kelihatan tabah dan sabar, biarlah seorang pahlawan itu bersimpuh sujud dan tunduk dihadapan Tuhannya lebih rendah dari rumput yang ada di bumi.

Kerana, disitu kemuliaan sebagai seorang hamba.


NOTA KAKI
Jangan pernah lupakan ALLAH. Kerana ALLAH sentiasa bersama kita.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails