BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Wednesday, December 26, 2012

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan


*Credit to dilabangi aka Mak Su for the pict :)
Entri khas ini aku tujukan buat isteriku yang tercinta, Hafizah.. sempena hari anniversary kita yang kedua ini abg ucapkan Happy Anniversary buat syg.. Semoga mahligai yang kita bina genap dua tahun ini akan berkekalan sampai ke Syurga.. amin.
Andai kata sepanjang  dua tahun abg menjadi suamimu ada menyinggung atau menyentuh hati dan perasaan sayang abg memohon seribu kemaafan.. Bak kata P.Ramlee "Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri"...

Erm, perkataan "abg" ni mcm geli-geli je bcoz we all selalu panggil "I" & "U" je,hihi
Sedar tak sedar dah dua tahun dah kami kahwin. Cepatnya masa berlalu. Rasa macam baru lagi kami kelam-kabut buat persiapan – pergi kursus kahwin, tempah kad, buat costing kenduri, perah otak macamana nak tampung belanja kahwin, striking out to-do list, watching the timeline anxiously.
Pada yang dah kahwin, tentu faham betapa  banyaknya dugaan nak kahwin kan? Haha. Tapi pada aku, semua cabaran itu lebih daripada berbaloi. Kerana Allah menghadiahkan aku seorang isteri yang baik untuk melengkapkan segala kekuranganku. Alhamdulillah.
Hannah Nasuha a.k.a Ain sebaik sahaja kluar dari wad :)
23 Februari 2012, disambut dengan Hannah Nasuha yang semakin terserlah sifat ‘peramah’ nya, disambut dengan rumah yang sudah mula ada kelengkapan serba sedikit (kalau tak dulu macam dewan kosong lapang je!), kereta yang dah ada calar sana-sini, dan tak lupa dengan rahmat kasih sayang tuhan yang sentiasa melimpah-ruah tanpa henti. Alhamdulillah.
Untuk second anniversary ni, tiada yang special pun dalam perancangan. Memang tarikh penting yang lain juga selalunya pun begitu. Cukup sekadar ucapan dan doa. Aku bukanlah lelaki romantik yang menghantar bunga, menulis kad, apatah lagi membuat surprise party.
Bagiku romantic itu adalah apabila suami menolong isteri membasuh pinggan, mengemas dapur, menjemur baju, melipat kain, mengemop rumah, membasuh bilik air, ya, itu definisi romantikku. Bukanlah bermaksud aku ni rajin sangat. Tapi paksa juga diri membantu mana yang boleh. Kenapa aku kata membantu isteri itu lebih romantic daripada membelikan bunga? Cuba fikirkan, rumahtangga siapa yang paling ideal? Yang boleh dijadikan contoh?
Yang terbaik tentulah rumahtangga rasulullah s.a.w.! Dan bagaimana kehidupan rasulullah dengan isteri? Sebagai seorang ketua kerajaan yang hebat, panglima perang yang tersohor, baginda tidak kekok langsung membantu isteri membuat kerja-kerja rumah. Tidak seperti yang digambarkan di dalam filem, kehidupan rumahtangga rasulullah juga disulami rajuk dan cemburu dalam ketawa. Bukannya tidak pernah berselisih pendapat, namun cara penyelesaian itu yang menjadi pemanisnya.
Jadi, bukan hanya berkahwin empat sahaja ‘sunnah nabi’. Menolong isteri juga adalah sunnah ya para suami. Dapat pahala! :)
Tahu tak, kenapa bila nak berkahwin, orang akan kata baguslah nak mendirikan masjid.
Pernah terfikir tak, kenapa masjid?
Sebab, di masjid orang bersolat, membaca quran, berzikir, ada tazkirah, ada usrah, semua aktiviti untuk mengingati Allah. Bagaimana dengan rumahtangga kita pula? Adakakah seperti masjid yang sentiasa meriah dengan ibadah? Atau seperti kubur yang sepi daripada amal kerana penghuninya ‘telah mati’?
Immediate gift yang kita akan dapat selepas berkahwin, adalah Sakinah. Ketenangan. Tak percaya, cuba tanya pasangan yang baru berkahwin. Rasa tenanggg sangat hati. Betul tak?
Kemudia datang pula perasaan kasih sayang antara suami dan isteri. Dan bila disemai dan dibaja, akhirnya dapatlah Rahmah (belas ihsan).
Semua ni ada terangkum dalam sepotong ayat yang menjadi kegemaran pasangan pengantin untuk diselitkan di dalam kad kahwin,
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu lebih cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan di antara kamu kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
Surah Ar-Ruum, ayat 21.
Some might say, alah, setakat baru dua tahun berkahwin, dah mula nak bagi ceramah kat orang! Hehe. Benar. Usia perkahwinan saya baru dua tahun jagung. Apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan usia perkahwinan orang lain yang lebih berpengalaman.
Tapi rasanya tak salah untuk kita saling ingat-mengingatkan. Sebab fitrah manusia ni memang mudah lalai. Baru je tadi duduk dalam masjid dengar kuliah maghrib, keluar je masjid, tak berkelip mata tengok perempuan. Sebab tu kita perlu sentiasa diingatkan. Walaupun perkara sama yang diulang-ulang.
Kita bercakap yang baik-baik ni, bukanlah bermakna kita ni baik. Tidak. Tapi, sekurang-kurangnya kita dah elak daripada bercakap perkara-perkara yang tidak baik. Setuju? :)
Eh, nak cakap pasal anniversary ni tadi. :p
Buat isteriku, tahniah kerana ‘bertugas’ dengan cemerlang sebagai seorang isteri dan ibu. Terima kasih kerana sabar melayani kerenah daddy dan Ain. Kami beruntung kerana mempunyai pengurus yang baik seperti mummy.
Ain now, 10 months already :)
Saya tahu, ramai ibu-ibu di luar sana yang melakukan perkara yang sama. Tahniah! Dan percayalah, kami golongan suami, walaupun ada antara kami yang sukar menzahirkan ucapan terima kasih, sebenarnya amat-amat menghargai susah payah anda. Semoga Allah membalas anda dengan balasan yang lebih baik. Amin.
Pada yang dah berkahwin tapi belum dikurniakan rezeki anak lagi, fikir kembali. Jujurnya, anda sanggup tak nak bangun awal pagi untuk sediakan segala macam keperluan anak daripada makanan sehinggalah beg pakaian? Sanggup tak nak bangun malam memujuk anak yang kadang-kadang menangis tanpa sebab? Bolehkah anda sabar dengan tidur yang sekejap-sekejap terganggu kerana rengekan anak di tengah malam?
Kalau jauh di lubuk hati anda mengatakan tidak, mungkin, sebab itulah Allah tangguhkan dulu rezeki yang satu ini. Kerana mungkin dalam pengetahuan Yang Maha Bijaksana, anda belum bersedia dan belum mampu nak mengharungi semua itu. Bahkan kalau diberikan juga, mungkin akan menyebabkan lebih banyak keburukan dan mengundang dosa. Itulah bukti sayangnya tuhan pada hambaNya. Tak mau kita ni buat dosa sebab kelemahan kita.
Suka kacau time Ain tengah tido :)
Allah saja yang tahu betapa aku bahagia dengan hadiah yang bernama isteri. Walaubagaimanapun, mustahil untuk hadiah lebih dibesarkan daripada ‘si pemberi’. Begitulah cinta. Ada turutannya. Pertama, Allah. Kedua Rasul. Ketiga suami (ibu untuk lelaki). Jika dilanggar turutan ini, nescaya menempah bencana.
Mana mungkin cinta pada makhluk mengatasi cinta pada Pencipta. Manusia ini hatinya sentiasa berbolak-balik. Sesaat gembira, sesaat boleh bertukar duka. Hari ini kita sayang, esok mungkin bergoyang. Itulah cinta manusia.
Tapi cinta Allah, cinta yang kekal. Bila Allah dan nabiNya di atas, cinta yang lain akan sempurna dengan sendirinya. Aku mencintai kamu kerana Allah. Kerana kamu akan menjadi pembantu ku dalam mencari redha Allah. Bila cinta kerana Allah, yang salah akan mengaku tanpa disuruh, yang benar akan memaafkan tanpa mengeluh.
Ya Tuhanku, jadikanlah aku, serta zuriatku, orang yang tetap (istiqamah) mendirikan solat. 
Surah Ibrahim, ayat 40.
Wanita tetaplah wanita. Tak mungkin kita dapat mengubah fitrahnya. Sedangkan Saidina Umar yang ditakuti syaitan pun rela menadah telinga mendengar leteran isteri, kenapa tak boleh kita? Pesannya pada para suami,
Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri telah banyak membantu kita. Dia yang menyelamatkan kita daripada amukan nafsu, dia yang membantu menjaga anak-anak kita, dia yang membantu menjaga makan minum kita, dia yang mencuci kain baju kita, dia yang membantu membersihkan rumah kita. Lalu apa salahnya kita bersabar dengan kerenah mereka?
Untuk para isteri, ingatlah sabda nabi s.a.w,
Mahukah aku beritahukan sesuatu yang dapat dijadikan sebagai harta simpanan seseorang?
Iaitulah isteri yang solehah. Jika seorang suami memandangnya, dia membuatnya gembira. Jika dia memerintahkannya, dia mematuhi. Dan jika dia pergi, maka dia akan selalu menjaganya.
Para suami tentu dapat merasakan betapa pentingnya peranan seorang isteri, kan? Jangan kata kehilangan, sekadar berjauhan sebentar pun sudah terasa susahnya. Bila stress, hati tak tenang, jantung berdegup kencang, pasti lega bila mendapat pelukan isteri. Ajaib sungguh. Semacam anesthetics yang dapat membuatkan tidur menjadi lebih nyenyak.
Dan untuk itu, hayatilah bait-bait ini duhai Permaisuri Hatiku.
Di antara kekasih pilihan di hati
Punyai budi penghias diri
Wajahnya lembut biasan perkerti yang tinggi
Indahnya perhiasan dunia
Di antara diriku juga dirimu
Hanya mengharap cinta yang satu
Ku binakan mahligai impianmu
Oh sayang, ikhlaskanlah hatimu
Malumu bernilai
Katamu berhikmah
Hatimu tulus suci dan murni
Hanya diri yang halal
Engkau serahkan segala
Untuk mencari redha Illahi
Benarlah cinta buta melalaikan
Tanpa memikirkan batas syariatnya
Semuanya itu hanya ujian didunia
Ia adalah mahar untuk kita ke syurga
Kau Permaisuri di hatiku
Di dunia ini engkau penghibur
Menjunjung kasih amanah Ilahi
Ku pasti akan terus menyayangi
Terima kasih ucapan ku beri
Kau hadiahkan ku cahaya hati
Ku pimpin tanganmu oh kasih meniti hari
Semoga kita dapat bersama
Sampai kepadaNya di syurga sana
Tuhan kekalkanlah
Permaisuri hatiku
Untuk menemaniku dalam mengapai cintaMu..

Chentaku... :)
Happy second anniversary my dear wife. Thanks for everything. Semoga rasa cinta ini sentiasa subur sehingga sampai kepadaNya, di syurga sana. Love you!

Tuesday, December 18, 2012

Berdosa? Bukan Alasan


Berfikir tentang dosa, tiada siapa yang mahu menambahkan jumlah akaun dosa.

Tiada siapa yang mahu hidup dalam kesesakan dosa. Tapi manusia sentiasa hidup dalam lautan dosa akibat perbuatan manusia itu sendiri. Benar, semua orang melakukan salah dan silap yang mengundang dosa besar mahu pun kecil. Tapi itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk manusia membiarkan diri hanyut dalam lautan dosa.

Bila seseorang melakukan salah dan silap, adalah normal manusia itu akan mengelak dari bertembung dengan kesan perbuatan salah dan silap yang telah dilakukan sendiri. Tapi sebenarnya, boleh manusia berpaling daripada ALLAH apabila sering berdosa?

Kalau berpaling dari ALLAH, kepada siapa mohon diampunkan dosa?


Manusia Berdosa, Bukti Kekerdilan Diri
Melalui proses kehidupan rutin sehari-hari, melakukan kesilapan itu adalah sebahagian fitrah dari diri manusia. Tiada siapa yang tidak membuat kesilapan. Saya dan anda semua termasuk dalam golongan orang-orang yang melakukan dosa.

Dan dosa itu pula ada dosa kepada diri sendiri, dosa kepada orang lain, dan dosa terhadap. Apabila melakukan menzalimi diri sendiri, perasaan bersalah itu akan terbit dan mungkin akan timbul satu perjanjian dengan diri sendiri bahawa tidak akan melakukan perbuatan itu lagi.

Begitu juga halnya dengan manusia lain. Rasa bersalah itu pasti ada. Dan adakalanya perasaan bersalah itu menghantui diri sendiri. Kadang-kadang juga, kerana ego yang tinggi, perasaan bersalah terhadap orang lain itu akan ditenggelamkan dengan ungkapan, “alahh, biarlah.”

Kata hati manusia adalah saksi tentang dosa yang ada pada manusia. Pada saat seseorang melakukan perkara yang salah, kata hatinya akan menyalahkan dia, menuduh dan menghukum diri dengan perasaan rasa bersalah. Tetapi kerana keegoan yang berjaya meninggi dalam diri, maka perasaan bersalah itu diketepikan dan dibiarkan berlalu dan kalau boleh, berusaha mengelak untuk memikirkan perkara tersebut.

Tapi, bagaimana dosa manusia dengan ALLAH?

Apabila kita terbuat salah dengan seseorang manusia misalnya, akibat dirundung oleh perasaan bersalah, setelah meminta maaf, tingkah laku kita apabila berhadapan dengan orang yang pernah kita buat salah itu akan tidak sama seperti sebelumnya. Sebolehnya, manusia akan mengelak dan mengelak. Oh, itu normal.

Tetapi, dengan ALLAH, manusia tidak akan sesekali dapat berbuat demikian. Mungkin jasad kelihatan akan mengelak dari bertemu dengan ALLAH; tidak solat, tidak menghadiri majlis ilmu, mengelak bertembung dengan orang-orang alim agama. Tetapi hakikatnya, hati yang diciptakan suci secara fitrah itu akan menghasilkan suatu perasaan bersalah yang mengecam jiwa.

Apabila manusia tidak menghiraukannya, maka percayalah, kehidupan seseorang itu tidak akan pernah tenang walaupun zahirnya penuh kebahagiaan.

“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya.” (An-Naml: 14)

Kalau manusia berbuat demikian, adakah ALLAH yang rugi?
Tidak! Sesekali tidak!

Hei. ALLAH yang menciptakan manusia. Dan ALLAH tidak akan rugi dan berkehendak pun kepada manusia jika manusia memalingkan diri dari-Nya. Sebaliknya manusia yang sangat-sangat bergantung dan memerlukan ALLAH dalam hidupnya.

Firman Allah SWT,

“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah, Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” – Fathir : 15


Banyak Dosa, Tidak Layak Memohon Ampun ALLAH

Tidak layak memohon ampunan dari ALLAH?

Mungkin ramai manusia yang akan beranggap sedemikian terhadap diri mereka sendiri. Jika ditanya kenapa, kerana mereka merasakan yang diri mereka sangat-sangat berdosa sebelum ini. Hanyasanya disapa dengan perasaan ingin kembali kepada Tuhan, maka mereka ada kesedaran kekerdialan sebagai hamba ALLAH.

Dan salah satu yang menjadi halangan ialah perasaan yang sedemikian. Perbuatan silam yang banyak mengundang dosa membuat segelintir manusia merasa sangat hina dihadapan ALLAH dan merasa tidak layak memohon ampun daripada ALLAH. Dan diantara manusia yang berfikiran seperti itu, ada yang kembali kepada ALLAH. Dan ada juga yang semakin jauh dari ALLAH.

Kenapa? Apakah pendosa tiada peluang mendapat keampunan ALLAH?

Tidak. ALLAH itu Maha Pengampun. Antara buktinya, saat seseorang manusia melakukan dosa, masa itu jika ALLAH berkehendak, boleh aja ALLAH mencabutnya nyawanya dalam kehinaan dan menjadi iktibar kepada manusia lain. Tapi, bersyukurlah seandainya pada saat anda melakukan dosa yang terhijab dari pandangan manusia lain, anda masih diberikan peluang untuk bernafas.

Dosa yang anda lakukan saat itu, hanya anda dan ALLAH yang tahu. ALLAH memelihara keaiban anda daripada diketahui oleh orang lain, disebabkan boleh jadi ALLAH ingin memberi anda peluang memeluk kesedaran dari perbuatan tersebut dan bertaubat serta berdoa kepada ALLAH.

Hidup ini, kadang-kadang sentuhan dari ALLAH itu dari pelbagai arah dan ketika tanpa disedari oleh manusia.

Maka, apa yang perlu dilakukan? Bawalah diri yang terasa penuh kehinaan itu menghadap ALLAH. Percayalah, perasaan menghadap ALLAH beserta rasa kehinaan terhadap Tuhan itu ada ketenangan yang ALLAH akan campakkan dalam jiwa manusia yang kembali mengetuk pintu ALLAH.

Berdoa Memohon Akan Keampunan
Suatu masa dahulu, seorang Mak Cik pernah berkata -semoga beliau ditempatkan di tempat orang-orang yang mendapat kemuliaan di sisi ALLAH- yang manusia masuk syurga bukan kerana amalan manusia yang banyak. Tetapi manusia masuk syurga kerana rahmat dari ALLAH. Lalu beliau berpesan, banyakkan berdoa dan menangis ketika berdoa. Dengan doa, keajaiban akan muncul dengan izin ALLAH.

Buang perasaan yang memakan diri, iaitu perasaan tidak layak memohon keampunan dari ALLAH kerana selautan dosa yang pernah dilakukan. Sebaliknya, tukar dengan perbuatan sungguh-sungguh mengerjakan amalan yang sudah lama ditinggalkan.

Yang paling penting, banyakkan berdoa. Doa itu penghubung antara seseorang hamba dan Tuhannya. Doa itu menjadi antara salah satu saluran manusia dengan Tuhan untuk saling berkomunikasi. Saya teringat sebuah hadis Rasulullah SAW,

“Sesiapa antara kamu yang dibukakan pintu hatinya supaya berdoa, nescaya Allah bukakan padanya pintu-pintu rahmat. Dan tidak ada doa yang dipohon itu yang lebih disukai Allah selain daripada memohon kemaafan (keselamatan di dunia dan akhirat).” – HR. Tirmizi

Dalam berdoa, berdoalah dengan penuh kerendahan diri dihadapan ALLAH. Selepas solat, ambillah masa beberapa minit untuk memuja dan memuji ALLAH seterusnya memohon keampuan dari-Nya. Selepas itu, dengan kudrat yang masih kuat, berusahalah untuk mendirikan solat diwaktu malam.

Solat diwaktu malam itu lebih tenang untuk berkhalwat dengan Tuan Punya Dunia. Dan doa-doa pada waktu itu juga boleh jadi tiada hijab. MashaAllah.

Sabda Baginda SAW,

“Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” – HR. Tirmizi & Abu Daud

Dan apa yang patut anda pagarkan dengan pagar duri besi atau apa-apa sahajalah, ialah anda berusaha sedaya-upaya dan berjanji kepada diri dan kepada ALLAH bahawa anda akan berusaha untuk tidak melakukan dosa seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Semuanya tidak mudah. Kerana hakikat kekuatan kudrat itu datangnya daripada ALLAH. Maka, mohonlah diberikan kekuatan untuk melawan nafsu liar yang ada dalam diri. Saya pernah terbaca sebuah hadis daripada Nabi SAW. Begini..

“Seorang Mukmin melihat dosanya bagaikan seseorang duduk dibawah gunung dan takut kejatuhan gunung itu.” -HR. Bukhari

Merasa susah dengan ungkapan doa? Naaa. Ketika berdoa, ungkapkan sahaja yang terlintas didalam hati. Percayalah, lintasan itu ALLAH sebenarnya yang bagi. Menurut ulama’ Tasawwuf, apabila seseorang ALLAH ringankan lidahnya untuk berdoa, maka sebenarnya dengan rahmat ALLAH, doa itu akan diperkenankan. Subhanallah~

Bukan mudah seseorang hamba ALLAH menggerakkan hati dan lidahnya untuk konsisten dalam berdoa jika tidak kerana hidayah dan taufik dari ALLAH. Maka, jangan pernah sudah cukup dengan hidayah yang ALLAH berikan. Minta dan mintalah lagi untuk sentiasa dipelihara ALLAH pada jalan kebenaran ini.

Hati sedang jauh dari ALLAH? Maka, ambillah langkah untuk dekat pada-Nya!

Peringatan yang lebih untuk diri saya sendiri. Kerana saya juga makhluk pendosa yang sering melakukan dosa. Memohon dengan rahmat dan inayah dari ALLAH, moga ALLAH tidak melepaskan saya dari genggaman-Nya. Dan doa yang sama untuk anda semua.

Mungkin satu peringatan yang biasa untuk diri saya terutamanya. Kita dimuka bumi, bukan siapa-siapa dan tiada nilai jika tiada rahmat ALLAH bersama dalam kehidupan! Dan ingatlah duhai diri, kepada ALLAH tempat kembali.


NOTA KAKI
Pssst! Sahabat, dengan dosa, manusia tidak akan sampai ke mana. Tapi memohon keampuanan atas segala dosa itu, boleh jadi ALLAH akan memuliakan manusia. Maka, apakah pilihan yang kita ada selain membawa diri kembali pada-Nya?

Related Posts with Thumbnails